KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjamin negara ini maju.
"Dasar Kerajaan Umno ni bila ada menteri baru datang, ada saja dasar baru dan cara sedemikian akan merosakkan masa depan anak bangsa kita. Dari awal lagi kita sudah menegaskan bahawa dasar ini sebenarnya tidak akan menjamin Malaysia menjadi sebuah negara maju.
"Negara maju seperti Jepun, Korea dan Jerman juga tidak mengajar teknikal subjek dalam inggeris malah mempertahankan bahasa ibunda mereka," jelasnya yang ditemui di parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Gombak itu juga memberitahu terdapat satu kajian oleh Unesco bahawa untuk menjadi sebuah negara maju dalam bidang industri teknologi sains, maka mata pelajaran perlu diajar dalam bahasa ibunda.
Azmin turut membidas pimpinan Umno sekali lagi tidak langsung mahu buat sebarang rujukan bincang tentang perlaksanaan dasar PPSMI dan akhirnya tujuan untuk mewujudkan kontrak-kontrak bagi kroni-kroni mereka.
"Perlaksanaan dasar dalan negara sentiasa dibuat tergesa-gesa tanpa perbincangan menyeluruh terutamanya dengan pihak yang mempunyai kepakaran," ujarnya.
Menurutnya dasar itu dibuat tanpa perancangan yang teratur sebagai contoh guru-guru masih lagi tidak cekap dan tidak dihantar utk melatih lebih awal serta buku-buku teks yang tidak disiapkan.
Mengulas tentang Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Malaysia (Page) yang tidak bersetuju dengan pemansuhan dasar tersebut, Azmin memberitahu kerajaan perlu berbincang dengan badan tersebut agar mereka lebih memahami dan menerima perlaksanaan tersebut.
"Saya kira kementerian mesti bertanggungjawab untuk bertemu dengan semua pihak dalam mencari jalan penyelesaiannya. Ini kerana sebarang perancangan dasar mestilah dibuat secara terperinci dan tidak tergesa dan bukan kerana kepentingan politik tetapi kepentingan anak bangsa," sambungnya lagi
Azmin memberitahu setiap pihak mesti hormati pandangan mereka namun jika perancangan ini dibuat dari awal, supaya ada pertimbangan bagaimana dasar-dasar baru hendak dilaksanakan dan beliau pasti setiap pihak mesti akan bersetuju. |
No comments:
Post a Comment