Pendedahan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat kelmarin bahawa seramai 152,182 anak luar nikah atau anak tak sah taraf direkodkan dari 2008 hingga 2010 adalah sesuatu yang sangat membimbangkan.
Antara punca gejala tersebut menular menurut kajian, adalah disebabkan beberapa faktor; antaranya menonton video dan laman web lucah, kurang didikan agama, ingin mencuba, pengaruh rakan sebaya dan rela melakukan hubungan seks, ujar Seai Kie ketika menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) yang ingin tahu jumlah anak luar nikah yang direkodkan sejak 2008, punca masalah dan inisiatif kementerian untuk membendung gejala itu.
Timbalan Menteri terbabit Datuk Heng Seai Kie memaklumkan kepada sidang Parlimen, daripada jumlah itu, Sabah merupakan negeri paling tinggi mencatatkan kelahiran anak luar nikah iaitu 41,490 orang diikuti Selangor (18,983 orang), Sarawak (17,570 orang), Johor (16,298 orang) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (12,095 orang)
Enam pusat remaja telah ditubuhkan untuk golongan sasar berumur antara 13 dan 24 tahun bagi memberi maklumat berkaitan isu psikososial termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan kemahiran hidup, tambah beliau.
Respon PMUKM
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) ketika merespon isu ini menegaskan kepentingan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di samping kemahiran mendekati golongan remaja sebagai kaedah mencegah gejala yang kian membarah ini.
“ Undang-undang kena (perlu) diperketat. Setahu saya, tiada tindakan (peruntukan) undang-undang terhadap pelaku yang melakukan seks bebas ini, kecuali di bawah kanun syariah. Itupun sekiranya (berlaku) hamil,” respon MPP Noraini ketika diminta mengulas isu anak tidak sah taraf ini.
“ (Peruntukan) Undang-undang yang terdekat merujuk kepada jenayah rogol. Bagi mereka yang lebih 18 tahun dan sabit kesalahan merogol gadis di bawah umur, baru boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun dengan sebatan.
“ Di sini kita melihat ada kelonggaran (peruntukan undang-undang) untuk memantau dan mencegah gejala seks bebas ini. Sebab itu saya melihat isu ini perlu ditangani dengan penguatkuasaan undang-undang.
“Juga tidak harus ditiinggalkan hukuman melalui kanun syariah bagi pesalah beragama Islam. Ini demi menjaga maruah dan agama Islam itu sendiri yang dicemarkan pelaku maksiat tersebut,” tambah saudari Noraini yang juga merupakan Pengerusi Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan PMUKM merangkap MPP GMUKM bagi kerusi Umum tahun 1/2.
Naib Presiden 2 PMUKM, saudari Muslimah bt Marsi pula ketika dihubungi melalui talian menggesa pihak berkenaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mempelbagaikan kaedah menangani gejala tersebut.
Antara yang dicadangkan saudari Muslimah adalah pendekatan bengkel kemahiran mendekati golongan remaja yang didapati kelompok teramai terbabit dengan gejala seks bebas dan melahirkan anak luar nikah tersebut.
“Pihak penguasa dan mana-mana pihak tidak boleh terus menghukum pelaku, tanpa kita selidiki sebenarnya isu (masalah) ini berpunca daripada siapa. Jangan terus menghukum, (tetapi) sebaiknya mendekati dan mengenalpasti serta mengadakan kajian mengapa gejala anak luar nikah ini semakin meningkat.
“ Di sini kemahiran mendekati, selain menguasai pelaku khususnya golongan wanita yang mungkin tertipu atau teraniaya perlu diaplikasi. Saya percaya ramai wanita yang terperdaya dengan pujuk rayu golongan lelaki ‘hidung belang’ ini. Mereka akhirnya menanggung (kesusahan).
“ Maka di sini yang perlu segera diselidiki dan dicari lelaki-lelaki tidak bertanggungjawab tersebut,” saran saudari Muslimah Marsi yang juga MPP GMUKM bagi kerusi Umum tahun 3/4.
Tindakan Kementerian
Untuk rekod, semasa sidang Dewan Rakyat kelmarin juga, pihak kementerian memaklum telah menggubal Dasar dan Pelan Tindakan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan pada tahun 2009 yang bertujuan meningkatkan pengetahuan dalam kalangan masyarakat, terutama ibu bapa kesan negatif terhadap perlakuan seksual luar nikah.
Turut dilancarkan kempen Kami Prihatin dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia, Persatuan Karyawan dan Astro Holdings Sdn. Bhd. yang bermula April tahun lalu.
No comments:
Post a Comment