"Tubuhnya berketul-ketul. Engguhnya tinggi, besar dan berdenyut-denyut apabila sesekali ia mengangkat kepalanya kerana mengangkat rumput. Sendi kaki hadapannya kelihatan pagan dan teguh. Kuku kakinya yang empat itu putih kehitaman mencengkam tanah."
Begitu lakaran Sastarewan Negara Syed Othman Kelantan dalam karyanya berjudul "Juara" berkenaan dengan bentuk seekor lembu yang mempunyai potensi untuk memasuki gelanggang pertarungan. Lembu kalah perlu dijual dan disembelih.
Kini lembu tinggal dalam kondo mencorakkan kehidupan kota dan desa. Pada mulanya selesa, kemudian dramatik dan sehingga hari ini masih tidak perlu letak jawatan. Perasaan kekitaan cukup kuat sesama warga Malaysia. Kita ditunjuk ajar dengan fahaman parti pemerintah yang sama, bahawa penyelewengan wang rakyat bukan masalah besar. Maka kita hidup sekampung sekota berkongsi pengajaran yang sama dengan anak cucu kita.
Ini pengajaran yang sah. Segala-gala yang dipertahankan oleh pemerintah adalah sah. Perbualan selepas 111111 ialah salah guna wang rakyat itu namanya SAH! Asalkan terus memerintah, segala-galanya sah.
Tidak seperti perasaan kekitaan sesama rakyat semasa perhimpunan BERSIH 2.0 di mana anak Melayu melindungi anak Cina daripada gas pemedih mata. Kisah anak Melayu tolong anak Cina juga dramatik dan hangat diperkatakan selepas 090711. Mesej yang wajar dilakarkan kepada lembu yang tinggal dalam kondo berkenaan 090711 ialah, peluru berpandu Patriot gagal memusnahkan peluru berpandu SCUD. Maka 090711 adalah untuk memperingati kemenangan SCUD. Ini yang membentuk perasaan kekitaan sesama rakyat terbanyak. Tapi ia haram, kata pemerintah yang sahkan akvititi salah guna wang rakyat. Seperti mana kuasa besar sahkan penaklukan Iraq dengan peluru berpandu.
Sementara itu, 111111 adalah untuk memperingati kemenangan mereka yang salah guna wang rakyat. Ia memalukan meskipun diSAHkan oleh mereka yang bersekongkol dengan kuasa dan ketamakan. Rakyat beri undi, yang melembukan rakyat dapat kondo.
Kini aktiviti salah guna wang rakyat mencorakkan budaya pembangunan dan tadbir urus negara. Pada mulanya sedikit, kemudian jutaan ringgit dan sehingga hari ini berbilion-bilion sama ada yang dilaporkan atau tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara disalahgunakan.
Kini psikologi kumpulan manusia bernama pengarang dan wartawan banyak dicorakkan oleh nilai projek yang didakwa melibatkan salah guna wang rakyat. Pada mulanya skandal ikan bili dilaporkan, kemudian pendedahan skandal ikan lembu terpaksa dilaporkan, seterusnya hanya skandal ikan jerung dianggap penting tapi jarang-jarang sekali dapat didedahkan.
Apakah kita diikatkan dengan kontrak sosial yang mengatakan bahawa menjadi tanggungjawab warga Malaysia supaya terus dilembukan oleh segolongan elit kerana mereka mewakili parti dan bahawa parti itu pemerintah dan pemerintah itu negara?
Apakah kita disusukan oleh lembu yang tinggal dalam kondo sehingga kita diikat bersama dan terus mempercayai mereka yang melembukan rakyat akan membela hak rakyat?
Tahun 1963, apabila Semenanjung Malaysia bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia, si tokoh antropologi bernama Clifford Geertz menerbitkan kajiannya berjudul "Involusi Pertanian: Proses Perubahan Ekologi di Indonesia" (Agricultural Involution: The Process of Ecological Change in Indonesia).
Involusi uterus merujuk kepada pengecutan uterus kepada saiz normal selepas bersalin. Ini pengalaman seorang ibu selepas bersalin. Clifford Geertz meminjam konsep involusi dan menggunakannya dalam tesis involusi pertanian sebagai percubaan memahami keadaan petani semasa era penjajahan. Kemudian, konsep involusi dipopularkan dan digunakan untuk menjelaskan pelbagai senario dalam bidang berlainan selain bidang pertanian.
Apabila digunakan untuk menjelaskan pertumbuhan negara, involusi merujuk kepada keadaan di mana pembangunan yang ditonjolkan tidak melibatkan perubahan secara mendalam. Meskipun terdapat pembangunan, tetapi pembangunan itu tidak memberikan pertumbuhan bermakna dalam jangka masa panjang dan memanfaatkan rakyat dan masyarakat secara keseluruhan. Apa yang ditonjolkan sekadar perubahan cetek dan sekadar menyentuh permukaan dasar sedia ada tanpa mendalaminya.
Di Malaysia, budaya involusi meresap ke dalam pelbagai lapisan jentera pemerintahan negara yang berperanan membangunkan negara. Pemerintah yang berbicara mengenai transformasi dan perubahan sering kali membiarkan begitu sahaja skandal-skandal salah guna wang rakyat yang impaknya kelihatan dari segi kerencatan produktiviti negara. Ukuran transformasi sekadar permainan angka tanpa kemajuan bermakna. Perubahan secara mendalam dan secara dasar tidak dilakukan.
Sesungguhnya, soal anjakan paradigma yang dapat membawa pertumbuhan negara ke satu tahap baharu senantiasa direncatkan oleh budaya involusi. Semenjak era krisis kewangan 1997/98, pertumbuhan Malaysia kelihatan lemah. Pertumbuhan sebelum itu yang pernah disifatkan sebagai sebahagian daripada mitos Asia telah menemui kebekuan. Angka pertumbuhan setiap musim atau tahun sekadar memaparkan pembangunan jangka masa pendek tanpa dirujuk atau diutamakan kepentingan perubahan dan pembaharuan secara dasar dan secara menyeluruh.
Era Pak Lah pernah memberikan identifikasi masalah yang tepat, antaranya pembangunan modal insan yang lemah merencatkan pembangunan Malaysia secara keseluruhan, tetapi gagal dari segi pelaksanaan. Sementara itu, Era Najib yang berbelanja jutaan ringgit hanya mampu melahirkan laporan satu per satu dan memperkaya sekumpulan kecil manusia, tetapi membiarkan lembu menduduki kondo.
Semenjak era krisis kewangan 1997/98, kesemua peristiwa dan pendedahan skandal menjuruskan kita kepada satu rumusan penting, bahawa Malaysia kini bukan sahaja terperangkap dalam middle-income trap tetapi juga terperangkap dalam budaya involusi. Budaya involusi merencatkan peningkatan produktiviti dan inovasi, mengekalkan kemiskinan tegar dan mendorong kemiskinan baharu, dan yang paling kritikal dalam konteks Malaysia, membiarkan lembu menduduki kondo melalui politik naungan dan aktiviti rent-seeking.
Maka soal penting hari ini tidak berkaitan dengan program transformasi yang dilakarkan sedemikian rupa seolah-olah pemerintah telah insaf dan sedang melakukan perubahan. Hal ini kerana perubahan yang menggunakan nama transformasi itu cetek, tidak mendalam dan tidak menyentuh soal dasar.
Skandal lembu tinggal dalam kondo ialah satu contoh klasik bagaimana program transformasi bakal gagal dari segi mengeluarkan Malaysia daripada perangkap budaya involusi.
Apabila lembu mula diberikan peranan untuk menanam budaya involusi dalam proses pembangunan Malaysia, bagaimana produktiviti negara dapat ditingkatkan secara berimpak? Bagaimana pula pendapatan isi rumah dapat ditingkatkan dengan kadar yang besar sehingga lonjatan kepada tahap negara berpendapatan tinggi dapat direalisasikan? Ataupun, bagaimana pendapatan boleh guna dapat ditingkatkan dan kos kehidupan yang tinggi dikurangkan?
Tidak! Ini bukan budaya kita. Undi kita bukan untuk melembukan diri kita. Undi kita bukan untuk membiarkan lembu menanam budaya involusi dan merencatkan pembangunan negara secara bermakna.
Tolak lembu yang cuba menduduki kondo. Ini titik permulaan kepada harapan baharu. Malaysia tidak perlukan peranan negara peragut! Malaysia juga tidak perlukan budaya involusi! Masih ada masa untuk kita SAY NO!
Biar lembu bertarung. Jangan kita dilembukan. Begini penutup kepada kisah lembu cuba menduduki kondo dan menanam budaya involusi. Terima kasih.
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.
No comments:
Post a Comment