Monday, November 21, 2011

Keangkuhan Umno dalam BN dan kesannya

Viktor Wong, Malaysia Chronicle

Beginilah berakhirnya karier politik presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon setelah beliau diberi penekanan berterusan oleh Umno agar tidak bertanding di dalam pilihanraya umum (PRU) yang akan datang.

Semuanya akibat daripada keangkuhan kuasa Umno di dalam Barisan Nasional (BN) yang selama ini telah menguasai penuh gabungan parti-parti komponen tersebut yang terdiri daripada MCA, MIC, PPP, Gerakan, SUPP, PBB, PBS, SPDP, PRS, LDP, SUPP dan PBRS.

Di bawah kekuasaan penuh Umno, hampir kesemua parti-parti komponen BN ini telah hilang taring dan daya saing mereka di mata para pengundi kerana halatuju BN senantiasa ditentukan oleh Umno.

Keangkuhan Umno yang berterusan itu telah menggalakkan parti tersebut berubah menjadi sebuah parti perkauman yang semakin ganas dan aktif mempromosikan agenda ketuanannya biarpun mendapat sedikit bantahan daripada beberapa buah parti komponen BN.

Bantahan yang kecil daripada beberapa parti komponen BN itu namum tidak menampakkan sebarang kesan yang menyeluruh kerana kesemuanya berjaya ditangkis oleh Umno kerana kuasa mutlaknya di dalam pergabungan tersebut.

Akibat keangkuhan Umno

Akibat daripada keangkuhan kuasa Umno yang berterusan di dalam BN dan ketidakberkesanan parti-parti komponen BN di dalam menangkis serangan perkauman Umno yang semakin radikal dan mendadak, beberapa parti-parti komponen BN yang utama telah kecundang di dalam pilihanraya umum yang lalu.

Ini adalah kerana, para pengundi khususnya merasakan parti-parti komponen BN tersebut tidak dapat berdirikari dengan sepenuhnya walau seinci dan mereka ini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Umno.

Selain daripada itu, para pengundi juga melihat kegagalan parti-parti komponen BN tersebut di dalam memartabatkan perjuangan dan ideologi parti mereka kerana senantiasa dikongkong oleh Umno dan agenda ketuanan perkauman parti tersebut.

Contohnya, Gerakan dan PPP yang asasnya adalah parti berbilang kaum dan memperjuangkan penyatuan melalui semangat Bangsa Malaysia, sementara MCA, SUPP dan MIC pula memperjuangkan nasib masyarakat Cina dan India masing-masing, manakala PBS pula memperjuangkan nasib masyarakat Kadazan-Dusun dan sebagainya, namun walau apajua bentuk perjuangan yang mereka pelopori, Umno tetap akan menekan dan menangkis segala idea-idea yang mereka ketengahkan.

Jadi akibat daripada kekuasaan dan keangkuhan Umno yang berlebihan di dalam BN, gabungan tersebut hanya dapat memperlihatkan satu parti sahaja iaitu Umno sementara parti-parti komponen BN yang lain hanya dilihat seakan-akan seperti pengiring dan pengikut setia yang tidak mempunyai sebarang pendirian yang kukuh bagi menonjolkan perjuangan yang mereka pelopori.

SAPP tinggalkan BN

SAPP, sebuah parti komponen BN di Sabah yang berani dan sering lantang menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap Umno yang disifatkan telah gagal menangani masalah pembanjiran pendatang haram berterusan di negeri tersebut, lantas bangkit meninggalkan gabungan BN di negeri tersebut dan kini bergerak sebagai parti pembangkang di negeri tersebut dan parlimen.

Setelah SAPP keluar daripada BN, sebuah lagi parti komponen BN Sabah, iaitu LDP mula mengemukakan tuntutan mereka dengan lantang tetapi masih dapat ditangkis oleh Umno sementara PBRS pula pada mulanya ada sedikit mengeluarkan kenyataan yang berbentuk tidak puashati tetapi ianya terus pudar dan terpadam dengan begitu sahaja setelah mereka diancam dan ditekan oleh Umno.

Adakah BN berkesan?

Persoalan yang perlu dikaji dengan mendalam oleh kesemua parti-parti komponen BN sekarang adalah apakah keberkesanan BN untuk memantapkan perjuangan masing-masing? Adakah skim gabungan BN itu dapat memanfaatkan sepenuhnya perjuangan dan ideologi yang dipelopori oleh parti masing-masing?

Ataupun parti-parti komponen BN ini telah lama mengorbankan segala ideologi dan perjuangan yang dipelopori parti masing-masing setelah mereka menyertai gabungan BN.

Kita lihatlah contok yang paling ketara, MIC untuk kaum India tetapi kaum tersebut terus menghadapi kemiskinan di kebanyakan kawasan luar bandar khususnya, SPDP dan PRS untuk kaum Dayak, akan tetapi kaum tersebut masih dipinggirkan di Sarawak dan dinafikan nikmat pembangunan dan pendidikan, sementara PBS untuk kaum Kadazan Dusun, akan tetapi kaum tersebut telahpun menjadi masyarakat kelas dua di negeri sendiri (Sabah) setelah ianya diperintah oleh Umno.

Dan seterusnya Gerakan dan PPP yang memperjuangkan idea-idea perpaduan, kesamarataan dan semangat satu Bangsa Malaysia. Adakah mereka berjaya mempelopori apa yang mereka sebenarnya perlu diperjuangkan?

Jelas, hampir kesemua parti-parti komponen BN ini terperangkap di dalam jerangkap samar BN, di mana pergerakan dan halatuju mereka tidak dapat ditentukan oleh kepimpinan parti masing-masing.

Oleh yang demikian, adakah mereka ini benar-benar berkesan untuk pihak-pihak dan masyarakat yang mereka dakwa wakili? Di harap para pengundi akan membuat perhitungan dengan lebih teliti dan memutuskan apa yang terbaik untuk mereka di dalam PRU yang akan datang. Malaysia Chronicle

No comments: