Saturday, November 19, 2011

ISA: Obama Patut Tahu & Diberitahu Bahawa Najib Sudah Menipu Rakyat Malaysia

KELAB GREENBOC

Najib pamer kepimpinan hebat: Obama


NUSA DUA (BALI): Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah mempamerkan kepimpinan yang hebat bukan saja dalam terus meningkatkan ekonomi Malaysia tetapi juga kepimpinan dalam pelbagai forum pelbagai hala.

Pemimpin Amerika itu berkata "kami mahu menjadi rakan yang akrab dengan Malaysia".

"Saya menghargai kerjasama luar biasa yang sudah kami terima dalam pelbagai isu...terima kasih banyak-banyak Perdana Menteri," kata Obama dalam ucapannya pada mesyuarat dua hala dengan Najib di sini hari ini menjelang Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadualkan esok.

Presiden AS itu berkata, mesyuarat dua hala itu akan membolehkan kedua-dua negara membincangkan bagaimana mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin Sidang Kemuncak Asia Timur untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan bersama di seluruh rantau ini.

Obama berkata, mesyuarat itu juga akan membolehkan kedua-dua pihak memperluaskan perbincangan mengenai hubungan dua hala mereka, menyifatkannya sebagai "kukuh" serta kerjasama yang dapat dilihat melalui isu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Beliau turut menyentuh mengenai interaksinya dengan Najib di forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Hawaii baru-baru ini.

"Saya hanya ingin menyatakan betapa saya berbesar hati dapat sekali lagi bertemu dengan Perdana Menteri Najib. Kami sudah berbual dan mengadakan perundingan yang baik pada persidangan APEC yang kami hoskan di Honolulu," katanya.

Sementara itu, Najib, dalam kenyataannya berkata AS adalah rakan perdagangan keempat terbesar dan secara asasnya masih pelabur terbesar di Malaysia.

"Kami amat mengalu-alukan untuk memperluaskan rangkaian perdagangan dan pelaburan. Dan menerusi TPP, diharapkan, kami dapat memenuhi tarikh akhir tahun depan," katanya.

Najib berkata, Kuala Lumpur melihat terdapat banyak prospek daripada segi peningkatan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

"Dan pastinya kami bersedia untuk menjalin kerjasama dalam bidang-bidang lain yang berkenaan," katanya. - BERNAMA

Isteri tahanan ISA ke Parlimen bantah Najib

KUALA LUMPUR, 18 Nov: PAS bercadang membawa isteri-isteri tahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Ahli Parlimen PAS dan pihaknya akan berbincang dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk memudahkan urusan membawa mereka dari Sabah.

"Saya sudah menghubungi Ahli Parlimen PAS dan kita akan bekerjasama dengan GMI untuk membawa isteri-isteri tahanan sementara sidang Parlimen masih berbaki dua minggu," kata beliau ketika menghubungi Harakahdaily.

Mazlan berkata, selain Najib, pihaknya juga mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima memorandum bantahan tersebut kerana mereka mungkir janji terhadap rakyat Malaysia.

Menyifatkan penahanan tersebut sebagai bercanggah dengan pengumuman Najib pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu, beliau menuntut Najib memberi penjelasan berhubung penahanan tersebut.

"Kita minta Perdana Menteri jelaskan mengenai perkara ini kerana tindakan ini jelas menunjukkan sikap hipokrit mereka," katanya.

PAS tegasnya mengulangi pendirian mahu tahanan dibicarakan di mahkamah jika benar dakwaan mereka terlibat dengan kumpulan militan.

"Apa yang malang, isteri mereka tidak tahu kenapa suami mereka ditangkap.

"Saya ulangi bagi pihak PAS kalau mereka ditahan kerana menggerakkan kumpulan militan seperti didakwa, bawa ke mahkamah," tegasnya.

Pada 14 November lalu, seramai 13 orang ditahan di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA), 7 daripadanya ialah warganegara Malaysia.

Tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar. -HD


Ulasan GB

Apakah pengumuman Najib sebelum ini bahawa "ISA akan dihapuskan" hanya sebagai satu retorika kosong supaya beliau mendapat publisiti murahan dan dan untuk menerima perhatian dunia seperti Presiden Amerika Barrack Obama semasa persidangan APEC yang lalu?

Semasa pengumuman penghapusan ISA itu dilakukan, beberapa pemimpin dunia termasuk Obama memuji langkah Najib sebagai satu usaha ke arah pematangan demokrasi yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

Namun tindakan polis dan kerajaan Malaysia tiba-tiba menggunakan semula ISA untuk menahan 13 orang ditahan di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA), 7 daripadanya ialah warganegara Malaysia adalah jelas satu penipuan Najib mengenai penghapusan ISA.

Bukankah ia perlu di khabarkan kepada pemimpin dunia juga bahawa Najib itu sudah memungkiri janjinya dan tindakan beliau mengumumkan "ISA dihapuskan" hanyalah bertujuan untuk kepentingan politik peribadinya supaya dijulang?

Rakyat juga mengesyaki apakah pengumuman menghapuskan ISA itu adalah sebahagian dari "nasihat" konsultan luar, APCO khususnya, demi membolehkan hubungan Najib dengan negara maju dapat diperbaiki?

No comments: