Kedudukan Malaysia ini mengecewakan jika dibandingkan dengan Bangladesh, Liberia, Papua New Guinea dan Uganda.
PETALING JAYA: Malaysia mencatat skor 4.5 dari jumlah 12, suatu kedudukan kurang satu tangga dari bawah dalam kaji selidik global tentang ketelusan belanjawan dalam sektor pertahanan.
Kedudukan yang memalukan ini didedahkan oleh Transparency International UK (TI-UK) dalam laporan Bajet Pertahanan Nasional yang melibatkan 93 buah negara yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, demikian menurut The Edge keluaran terbaru.
Tiga faktor menyumbang ke arah kedudukan ini. Pertama, kaji selidik menunjukkan jumlah item rahsia dalam bajet pertahanan Malaysia adalah tinggi, pada sekitar 8.5% dari jumlah keseluruhan. Berbanding dengan Korea Selatan di mana hanya 2% perbelanjaan pertahanan dikategorikan sebagai rahsia.
Kedua, perbelanjaan pertahanan tidak dibenarkan dibahas dalam Parlimen Malaysia, di mana pengarah TI-UK International Defence and Security Programme, Dr Mark Pyman menyifatkannya sebagai “memeranjatkan”.
Ketiga, perbelanjaan pertahanan tidak diteliti dan dihalusi oleh Ketua Audit Negara, tidak seperti di negara-negara lain yang berada pada ranking yang lebih tinggi.
Malahan laporan itu juga mendedahkan kedudukan Malaysia yang mengecewakan jika dibandingkan dengan Bangladesh, Liberia, Papua New Guinea dan Uganda yang berada dalam kedudukan yang lebih baik dari negara ini dari segi ketelusan dalam perbelanjaan pertahanan.
Minat terhadap ketelusan dalam perbelanjaan pertahanan semakin meningkat sejak satu dekad yang lalu, kata laporan itu.
Para pegawai memberitahu TI-UK bahawa mereka begitu peka tentang risiko rasuah dalam pertahanan dan keselamatan kerana menurut mereka, gejala rasuah ini akan mengakibatkan pembaziran sumber, mengurangkan keberkesanan operasi, menghakis keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan dan menakut-nakutkan syarikat-syarikat pelabur luar.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua membangkitkan isu perbelanjaan yang dibuat Kementerian Pertahanan yang mengakibatkan ketirisan kira-kira RM12 bilion ekoran dari pembelian kereta perisai, helikopter dan kapal perang pada harga yang sangat tinggi.
Pertanyaan yang dikemukakan oleh Pua itu ditolak oleh Speaker untuk dibahas dan menteri berkenaan Datuk Seri Zahid Hamidi berkata beliau langsung tidak tahu menahu tentang butir-butir perbelanjaan dan ketirisan yang didakwa oleh Pua.
No comments:
Post a Comment