Tuesday, November 22, 2011

Ada cubaan gagalkan Kongres KEADILAN

Oleh: Masdar Wahid

AMPANG: Pengarah Operasi Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN, Sharifah Shahidah berkata, wujud usaha pihak tertentu untuk menggagalkan Kongres Nasional KEADILAN yang dianjurkan di Johor 25 hingga 27 November ini.

Ini kerana katanya, beberapa minggu lalu, petugas parti dihalang memasang banner berkaitan kongres di sekitar kawasan Pulai Spring Resort, tempat kongres itu bakal berlangsung.


“Wujud pihak tertentu’ yang seolah bertujuan mahu menggagalkan kongres KEADILAN yang berlangsung di Johor kali ini.

“Walaupun beberapa hari lalu kita dibenarkan juga memasang banner, namun kita kesal tindakan ‘pihak tertentu’ itu,” katanya ketika ditemui pada Forum ‘GST dan Inflasi’ yang berlangsung di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) semalam.

Selain itu, katanya pihak yang dilantik menguruskan pentas ‘turut ditekan pihak tertentu’.

Menurutnya, tindakan itu bertentangan dengan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebelum ini memberi jaminan tidak akan ada sebarang gangguan terhadap penganjuran kongres berkenaan.


Oleh itu, beliau berharap insiden seperti itu adalah yang terakhir dan tidak lagi berlaku selepas ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bermula Khamis hingga hujung minggu ini, pimpinan KEADILAN bermula dari peringkat Ahli Majlis Pimpinan Pusat akan mengadakan jelajah penerangan di setiap pelosok negeri itu.

Jelajah anjuran KEADILAN Johor itu antara gerak kerja berterusan untuk menawan Johor pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Sepanjang jelajah itu, kita berharap setiap peringkat lapisan masyarakat memanfaatkannya dengan mendengar sendiri penerangan isu secara langsung dari pimpinan parti.

“Pastinya, ceramah dan penerangan yang turut diminta rakyat ini tidak akan disiarkan media arus perdana kerana Umno-BN kian gusar dengan usaha Pakatan Rakyat yang mahu menakluk kubu kuat Umno itu,” tegasnya.

No comments: