Khamis, 27 Mei 2010

Warga emas mati digilis bas


Anggota polis mengangkat mayat warga emas yang ditemui mati selepas dipercayai digilis sebuah bas ketika mangsa sedang tidur di Taman Layang-Layang, Rahang, Seremban, semalam.

SEREMBAN - Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan ngeri selepas disyaki digilis sebuah bas ketika sedang tidur berhampiran padang permainan di Taman Layang-Layang, Rahang, dekat sini malam tadi.

Mangsa yang tidak mempunyai sebarang identiti, dikatakan berada di kawasan itu untuk tidur.

Namun malang buat mangsa apabila digilis oleh bas sekolah berkenaan yang kebiasaannya diletakkan di situ, ketika sedang mengundur.

Kejadian disedari oleh pemandu bas lain apabila menemui mayat mangsa yang berlumuran darah di situ, kira-kira pukul 11 pagi.

Ketika ditemui, kepala mangsa hampir hancur akibat digilis bas berkenaan dengan kesan darah pada tayar kenderaan terbabit.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta supaya menghubungi Balai Polis Rahang di talian 06-7632222 untuk mengecam mayat.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sedang mengenal pasti identiti mangsa.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiada ulasan: