ADA beberapa persoalan pokok yang harus diajukan di sebalik pelantikan bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Mohamed Ezam Mohd Nor sebagai Senator yang baru.
Pertama, apakah sumbangan beliau kepada agama, bangsa dan negara sehingga melayakkan beliau dilantik sebagai Senator?
Kedua, dengan kedudukan beliau sebagai ahli biasa Umno, apakah peranan yang boleh beliau mainkan di Dewan Negara?
Atau, apakah beliau akan dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri, bagi membolehkan beliau berperanan di Dewan Rakyat pula?
Merujuk kepada persoalan ini, sejurus pelantikannya Ezam mendakwa beliau layak dilantik menjadi Senator berdasarkan banyak sumbangan beliau untuk memerangi rasuah, antaranya dengan menubuhkan Gerak.
Ezam menafikan dakwaan bahawa pelantikannya sebagai 'upah' dari Umno-Barisan Nasional.
Namun bagi penulis, jika Ezam menafikannya pun siapa yang hendak percayakan dia.
Orang-orang Pakatan Rakyat sudah lama tidak mempercayainya, malah, orang-orang Umno sendiri pun belum tentu percaya kepada beliau.
Hakikatnya pelantikan Ezam sebagai Senator banyak dipertikaikan. Kelompok Pakatan Rakyat tidak ada sebab hendak pertikaikan kerana pelantikan tersebut adalah progatif Perdana Menteri.
Yang banyak mempertikaikan pelantikan Ezam adalah orang-orang Umno sendiri.
"Dia (Ezam) dah 'kenyang' kat sana, buat onar macam-macam burukkan kita (Umno), lepas tu dia masuk sini, pun dia 'kenyang' juga, dapat Senator lagi," keluh seorang pemimpin pemuda Umno.
Apa maksud 'kenyang' itu, hanya Ezam dan orang-orang Umno yang terlebih faham.
Persoalan yang mengguris hati kebanyakan orang Umno ialah bagaimana bekas pengkhianat Umno, baru setahun kembali ke dalam Umno, sudah mendapat 'reward' sebegini besar?
Di luar sana, ramai lagi pemimpin tertinggi Umno, di peringat negeri dan bahagian, yang berjuang sehidup semati mempertahankan Umno, sejak dulu, kini dan selamanya, 'habuk pun tak dapat.'
Malah ada antara mereka yang menjadi penyokong tegar Dato' Seri Mohd Najib Razak tatkala ditindas Khairy Jamaluddin, pun tidak mendapat apa-apa.
Malah begitu komitednya perjuangan mereka dalam Umno, diumpamakan, jika ditoreh lengan mereka sekalipun, akan keluar 'darah cap keris'! Tetapi mereka-mereka ini diketepikan oleh pemimpin tertinggi Umno. Mengapa mereka diketepikan?
"Kes Ezam buat PM, ini ibarat 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan," kata seorang penganalisis politik.
"Ada bunyi-bunyi kata hendak lantik Ezam pula sebagai Timbalan Menteri, habis kami orang Umno yang ramai-ramai ini hendak jadi apa?" soal seorang pemimpin pemuda dengan nada kemarahan.
Ya tak ya juga. Bukan AJK Pemuda atau pemimpin bahagian Umno sahaja, malah berlambak-lambak Ahli Parlimen Umno-BN yang mengharap jawatan Menteri atau Timbalan Menteri yang akan kempunan nanti.
Yang paling kempunan sudah tentunya Ahli Parlimen Rembau, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Selepas bapa mertuanya dijatuhkan dari tampuk kuasa, Khairy tidak mendapat apa-apa dari Umno, walaupun suatu ketika dahulu beliau kelihatan amat berkuasa.
Penentangnya Dato' Mukhriz Mahathir dah jadi Timbalan Menteri. Begitu juga Naib Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim, juga Timbalan Menteri.
Maka kali ini jika Ezam dilantik menjadi Timbalan Menteri, maka riwayat Khairy sebagai Ketua Pemuda Umno yang sedang berantakan dengan exconya sekarang ini, sudah hampir di penghujung.
Apakah tidak mustahil Najib sedang memprojek Ezam sebagai bakal Ketua Pemuda Umno yang baru? Khairy sudah tidak layak, sebab pertama, beliau menang tipis apabila undi perwakilan pemuda terbahagi tiga, bermakna beliau hanya dipercayai satu pertiga pemuda sahaja.
Alasan kedua, beliau dikritik oleh exconya sendiri, malah disuruh meletak jawatan kerana gagal mengemudi pemuda Umno.
Alasan ketiga, ialah kerana Khairy tidak mendapat kepercayaan Najib, dengan tidak dilantik menganggotai kabinet, dan sama sekali tidak boleh diterima oleh orang-orang Najib.
Oleh kerana Mukhriz kelihatan sedikit 'lembap' untuk dijadikan galang-ganti Khairy, maka seseorang seperti Ezam yang kelihatan rancak dan bertenaga, harus dipupuk mulai dari sekarang untuk mengambil alih tugas Ketua Pemuda.
Ezam dalam konteks ini dilihat ada sedikit 'command'. 'Command' atau karisme Ezam, bukan untuk dikemudikan untuk mengembleng tenaga muda menyokong Umno, sebab penyokong Umno sudah semakin pupus.
Ezam sebenarnya hendak dipergunakan sebagai alat Najib untuk menyekat kemaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ezam adalah 'ayam sabung' terbaru Umno-BN untuk menentang Pakatan Rakyat, selepas Ahli-ahli Parlimen Umno-BN yang ada gagal berfungsi.
Sebab apa Najib mempercayai Ezam? Sebabnya ialah selepas mengkhianati 'tuannya' dalam KeADILan, Ezam begitu konsisten memaki hamun Anwar.
Tiada topik lain yang dicakapkannya selain memburuk-burukkan Anwar. Beliau akan muncul setiap kali ada pilihan raya dan setiap kali wujud perpecahan dalam KeADILan, 'menangguk di air yang keruh' untuk menjatuhkan maruah Anwar.
Ada rakan-rakan dalam KeADILan mendakwa, peristiwa beberapa orang anggota AMK KeADILan dan lain-lainnya keluar dari parti itu, berikutan daripada kerja keras Ezam dan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairudin.
"Kerja mereka mudah, mereka round satu Malaysia, hubungi semua 'budak-budak Ezam' dalam parti, tawar macam-macam kepada mereka," dakwa seorang ahli MPT KeADILan.
"Ezam dan bekas Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Salehuddin Hashim rapat dengan Najib.
Mereka jadi broker 'tukang beli' orang-orang KeADILan," dakwa seorang yang lain.
Di sini, bukan persoalan jumlah banyak mana RM yang 'dibayar' untuk mereka yang sedia mengkhianati perjuangan. Tetapi, ianya adalah soal keberkesanan tugas Ezam untuk melemah dan memporakperandakan KeADILan.
KeADILan adalah antara komponen utama Pakatan Rakyat. Dan Anwar dilihat sebagai pencabar terbesar kepada Najib. Tugas Ezam dan pecacai-pecacai yang lain adalah untuk memperlahankan gerakan Pakatan Rakyat.
Walaupun kocaknya KeADILan, seumpama 'kocakan air dalam cawan', namun ianya cukup untuk memuaskan hati Najib. Di atas kepuasan hati itulah, beliau menganugerahkan jawatan Senator buat Ezam.
Jelasnya, ianya upah yang diberikan kerana berjaya memaki hamun Anwar! |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan