Friday, May 28, 2010

SULTAN' ZAKARIA SESATKAN UMAT ISLAM GUM-GUM?

Oleh: IBNU HAMZAH


ANGKATAN Muda Parti Keadilan Rakyat (Sabah) kesal kerana ajaran Wahabi dan Yahudi mula menular di Sabah tanpa sebarang kawalan sehingga menyebabkan Umat Islam terjerumus ke kancah kufur dan menyekutukan Allah.

Ketua Penerangannya, Zainuddin Hassan, berkata Mufti Sabah, Sahibus Samahah Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan seharusnya meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugas dan menguatkuasa fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa mendirikan sembahyang di masjid yang ada kubur (di dalam atau persekitarannya) adalah haram.

Zainuddin menegaskan, pihaknya kesal dengan tindakan Adun Gum-Gum, ‘Sultan’ Zakaria Edris yang mengkebumikan jenazah ibu saudaranya, Hajjah Maskunah Binti Pangiran Badarun di hadapan kiblat Masjid Darul Aman, Kampung Gum-Gum, Batu 16, Sandakan.

“Matlamat pembinaan sesebuah masjid hanyalah untuk didirikan ibadah dan berdoa kepada Allah semata, bukan kepada para makhluk, maka diharamkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa-sallam menjadikan kubur-kubur sebagai masjid, kerana fungsi masjid untuk solat di dalamnya sebagaimana tujuan semua masjid dibina,” ujar Zainuddin yang memetik pandangan Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah Rahimahullah.

Menurut Zainuddin, Hajjah Maskunah Bte Pangiran Badarun yang dilahirkan pada 30 Oktober 1927 telah meninggal dunia pada 9 Jun 2009 dan tanpa sebarang persetujuan Ketua Kampung dan penduduk kampung Gum-Gum, ‘Sultan’ Zakaria telah mengarah kaum kerabatnya mengkebumikan jenazah ibu saudaranya itu di perkarangan masjid berkenaan.

Zainuddin menarik perhatian bahawa Qadi al_Baidhawi Rahimullah berfatwa tentang haramnya amalan ‘kuburi’ iaitu antaranya solat menghadap kubur atau menjadikan (menanam mayat) di hadapan masjid atau surau.

Amalan ini kata Zainuddin ialah amalan Orang Yahudi kerana mereka suka sujud kepada kubur nabi mereka bertujuan untuk memuliakannya dengan menjadikan kubur-kubur tersebut di sebelah kiblat dengan cara menghadapkan solat mereka ke kubur. Akhirnya kubur tersebut menjadi berhala. Oleh itu, mereka dilaknat oleh Allah. Maka ditegah orang-orang Islam dari melakukan seperti mereka (Yahudi).

Menurut Zainuddin, Ulama Islam Mazhab Syafie di seluruh dunia telah memfatwakan bahawa umat Islam dilarang mengerjakan solat di masjid yang ada ‘atau di masjid yang dibina di atas perkuburan atau di masjid yang tanahnya bersambung dengan kubur dan berhampiran dengan kubur.

Menurut Zainuddin, amalan yang dilakukan oleh ‘Sultan’ Zakaria ini akan mudah membuka ruang untuk mengubah maksud ibadah seseorang itu daripada beribadah kepada Allah akan tercampur dengan beribadah kepada orang di dalam kubur (mayat), iaitu dengan cara berdoa kepada kubur dan berdoa di sisi kubur.

Sehubungan itu kata Zainuddin, Rasulullah s.a.w telah melarang menjadikan tempat seperti ini untuk beribadah kepada Allah supaya dapat menutup ruang daripada menyekutukan Allah dengan mayat di dalam kubur.

Tegas Zainuddin, antara sebab ditegah menjadikan kubur sebagai masjid atau masjid dijadikan kubur (tempat mengkebumikan mayat) ialah menutup ruang dari memuliakan dan memuja mayat dengan cara yang terkeluar dari batas yang dibolehkan oleh syara, sebagaimana perbuatan orang-orang Yahudi.

Perkara ini kata Zainuddin telah diterangkan juga oleh al-Allamah Ibn al-Malik Rahimahullah dari kalangan ulama Hanafiyah yang berpendapat diharamkan mendirikan masjid di kuburan ialah kerana bersolat di masjid yang ada kubur sama seperti mengikut sunnah dari sunnah-sunnah Yahudi

Tambah Zainuddin lagi, menurut hukum lahir dari Mazhab Hambali, bersolat di masjid yang ada kubur atau di masjid yang didirikan di perkuburan adalah tidak sah (batal) solat tersebut dan wajib diulang semula.

Sehubungan itu, Zainuddin menggesa Tuan yang Di Pertua Negeri Sabah selaku Ketua Agama di Sabah dan Mufti Negeri Sabah segera mengeluarkan arahan kepada ‘Sultan’ Zakaria agar memindahkan jenazah ibu saudaranya ke tanah perkuburan kerana semua yang bersubahat akan menanggung dosa umat Islam yang sembahyang mereka tidak sah semata-mata kerana sikap drakonian ‘Sultan’ Zakaria.

“Walaupun kampung Gum-Gum menerima bala dunia iaitu akan diroboh dan dimusnahkan untuk dimajukan sebagai bandar baru oleh kroni ‘Sultan’ Zakaria, namun masjid tersebut akan terus kekal dan menjadi rumah Ibadah dan institusi agama kepada kawasan Gum-Gum,” ujar Zainuddin yang mendesak semua umat Islam bersatu menentang kekufuran dan ajaran sesat yang cuba dikembangkan di Gum-Gum.

Zainuddin turut menggesa agar Sultan Zakaria meletakkan jawatan sebagai Adun Gum-Gum dan bertaubat nasuha serta meminta maaf daripada umat Islam yang sembahyang mereka TIDAK SAH sejak jenazah berkenaan dikebumikan di perkarangan Masjid Gum-Gum.

"Kita juga akan mendapatkan perintah mahkamah untuk memindahkan kuburan berkenaan jika 'Sultan' Zakaria degil," ujar Zainuddin yang telah mengemukakan isu ini kepada PKR Pusat.

No comments: