Kemelut yang berlaku dalam parti komponen ketiga terbesar dalam Barisan Nasional (BN), MIC kian memuncak ekoran kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh S. Vell Paari. Sebelum ini, mungkin tidak ramai daripada kita kenal siapakah dia.
Namun, tuduhan liar beliau yang mendakwa Umno melakukan “pembunuhan politik” bagi menjatuhkan bapanya, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengejutkan banyak pihak. Kenyataan itu juga dilihat berjaya melonjakkan namanya dalam pentas politik negara. Ini kerana hanya selepas kenyataan itu dikeluarkan, barulah ramai daripada kita kenal siapakah Vell Paari. Sebelum ini, mungkin ada yang mengenalinya tetapi terhad dalam kalangan anggota MIC atau segelintir kaum India sahaja.
Mungkin itulah juga tujuan utama beliau mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut iaitu mahu cepat popular dan dianggap sebagai pejuang sejati atau hero kepada masyarakat India.
Jika itulah yang difikirkan olehnya, maka jelaslah bahawa beliau telah tersilap langkah. Bak kata orang — “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padanya” sehinggakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Vell Paari sebagai biadap dan tidak bertanggungjawab.
Tuduhan tidak berasas itu diluahkan oleh Vell Paari yang mengaitkan kewujudan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) dengan Umno yang didakwanya menyokong serta memulakan tindakan mewujudkan gerakan tersebut.
Sebagai seorang anak, memanglah Vell Paari berasa cemas sehinggakan terlepas cakap. Memang benar dalam apa sahaja masalah yang menimpa, seorang anak akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan kerjaya politik bapanya.
Itulah yang sedang dilakukan oleh Vell Paari walaupun beliau terpaksa mengorbankan kepentingan parti dan kaum India, asalkan bapanya terus berada di tempat teratas dalam menerajui MIC.
“Dia bercakap kerana dia anak presiden ...,” kata Muhyiddin dalam satu laporan akhbar semalam.
Mengulas perkembangan terkini yang melanda MIC itu, Pensyarah Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, MIC harus bermuhasabah diri dan segera melakukan transformasi jika tidak mahu menjadi “dinasour politik”.
Menurutnya, sikap MIC yang tidak mahu berubah dan gagal menyelami kenapa orang India menolak parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008 telah menjerumuskan parti itu ke dalam kancah masalah besar.
Dalam PRU 2008, MIC kehilangan enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri. Lebih memalukan apabila Samy Vellu kecundang di kawasannya sendiri, Parlimen Sungai Siput.
Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata, hasil post mortem keputusan PRU 2008 yang dilakukan telah membuka pintu hati Umno dan MCA untuk melakukan transformasi besar-besaran.
“Umno sanggup berubah. Banyak yang telah dilakukan untuk mengukuhkan akar umbi termasuk peralihan kuasa Presiden daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak yang berjalan lancar.
“Begitu juga MCA yang memilih Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai presiden barunya dalam pemilihan semula MCA pada Mac lalu.
“Soalnya, kenapa dua parti komponen terbesar dalam BN itu sanggup melakukan perubahan, MIC pula masih ditakuk lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, MIC seharusnya mencontohi Umno yang sanggup mengakui kelemahan yang ada dan berusaha memperbaiki setiap kelemahan tersebut.
“Saya lihat MIC enggan mengkaji dan mengakui kelemahan yang wujud sekali gus terjebak dalam sindrom penafian.
“Selagi sindrom itu ada, maka MIC tidak akan boleh bangkit daripada kekalahan teruk dalam PRU 2008 dan ia tentu akan memberi kesan buruk dalam PRU Ke-13 kelak,” ujarnya.
Menurutnya, apa yang perlu dilakukan oleh MIC sekarang adalah sanggup menerima kritikan, bersikap terbuka dan realistik serta sedia untuk berubah terutama di peringkat pucuk pimpinan.
“Hala tuju yang jelas untuk menjaga kepentingan kaum India dan berusaha ke arah itu serta pendemokrasian parti penting untuk membolehkan MIC bangkit semula daripada kealpaan yang lama,” katanya.
Tambahnya, menuding jari kepada orang lain (Umno) dalam menyelesaikan masalah yang melanda menunjukkan betapa lemahnya MIC dalam menangani masalah dalaman parti.
“Kena buat penambahbaikan di semua peringkat sama ada akar umbi atau peringkat tertinggi. Jika tidak, MIC akan terus mencari 'kambing hitam' untuk menutup kelemahan sendiri.
“Nasihat saya, jangan cari ‘kambing hitam’. Kalau terus dicari maka MIC akan jadi ‘dinasour politik’,” katanya.
Banyak yang boleh MIC lakukan untuk memenangi semula hati kaum India yang kini semakin hilang kepercayaan terhadap parti tersebut dalam membela nasib mereka.
Antara yang boleh dilakukan adalah menghidupkan semula slogan MIC Care bagi meniupkan semangat keakraban sesama masyarakat India sekali gus mentransformasi parti agar nampak lebih inklusif. — Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan