Sunday, May 2, 2010

Rashid dikuarantin, Fairuz kebah

Rashid Sidek (kiri) dan Mohd Fairuzizuan Tazari

Oleh Lukman Salleh


HANYA lapan hari sebelum Piala Thomas/Uber bermula di Stadium Putra, Bukit Jalil, tetapi suasana di dalam skuad kebangsaan cemas dengan masalah kesihatan yang melanda ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek dan pemain beregunya Mohd Fairuzizuan Tazari.

Rashid, dalam saringan awal, disyaki mengidap Influenza A (H1N1), sehari selepas anaknya yang berusia 15 bulan disahkan positif diserang penyakit itu.

Kedudukan Rashid, ketika ini dikuarantin di hospital, serta deman Fairuzizuan menyebabkan pemeriksaan kesihatan dipertingkatkan kepada semua pemain dan jurulatih skuad Piala Thomas/Uber, dengan Institut Sukan Negara (INS) akan memantau situasi berkenaan bagi mengelak pasukan kebangsaan dilanda gejala H1N1.

“Kita tidak mahu mengambil sebarang risiko,” kata Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Aziz, semalam. “Kita akan membuat pemeriksaan yang lebih kerap. Malah semalam (kelmarin), kita sudah melakukan saringan kesihatan kepada semua pemain dan jurulatih.

“Setakat ini semua pemain dalam keadaan baik. Fairuzizuan yang demam dua hari lalu sudah pulih dan boleh menyambung kembali latihan.

“Mengenai Rashid pula, ujian segera (rapid test) yang dilakukan menunjukkan bahawa dia mengalami simptom H1N1 tetapi saya difahamkan pihak hospital akan melakukan ujian lebih terperinci untuk mengesahkan perkara itu.

“Dalam hal ini, kita tidak perlu mengkuarantin keseluruhan pasukan Piala Thomas/Uber cukup dengan melakukan pemantauan dan ISN akan mengadakan semula pemeriksaan ke atas pemain dan jurulatih, Isnin ini (esok),” kata Ramlan.

Ditanya mengenai kemungkinan skuad Piala Thomas/Uber diberikan vaksin H1N1 bagi mengelak mereka dijangkiti wabak Influenza A, Dr Ramlan berkata, tempoh sudah agak suntuk untuk mereka mendapat pelalian itu.

“Saya berpendapat memberikan vaksin H1N1 kepada pemain ketika ini dianggap sudah agak suntuk kerana ia mempunyai kesan sampingan,” kata Dr Ramlan. “Tetapi saya ingin menasihatkan pemain yang mengalami sebarang gejala selsema dan sakit tekak, supaya segera melaporkan kepada ISN.”

No comments: