Friday, May 28, 2010

Projek sakit: Tujuh kontraktor diarah bayar ganti rugi tunai

UTUSAN ONLINE

SUNGAI PETANI - Kementerian Kewangan mengarahkan tujuh kontraktor membayar ganti rugi tunai (LAD) kepada pihaknya atas kegagalan menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Timbalan Menterinya, Datuk Chor Chee Heung memberitahu, kontraktor tersebut gagal menyiapkan tujuh daripada 322 projek yang diluluskan Kementerian Kewangan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, antara projek itu adalah tiga di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada); dua di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Sungai Petani dan masing-masing satu projek di Pengkalan Kubor, Kelantan dan Sungai Pulai, Johor.

"Projek ini ditakrifkan sebagai projek sakit kerana tidak dilaksanakan mengikut jadual.

"Kementerian Kewangan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dan kita telah mengambil tindakan mengarahkan mereka membayar LAD.

"Selain itu, kita turut mengarahkan mereka menyiapkan projek terbabit dengan melantik kontraktor lain untuk bertindak sebagai badan penyelamat segera," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan pemantauan projek pembangunan PKNK di sini hari ini.

Menurut Chee Heung, secara keseluruhan, jumlah projek sakit di bawah Kementerian Kewangan tidak membimbangkan malah pihaknya menggandakan usaha dengan menghantar pasukan khas untuk pemantauan yang lebih kerap.

"Kita perlu pastikan semua projek tertangguh itu disiapkan sebelum tempoh RMK-9 tamat iaitu pada 31 Disember ini memandangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan dimulakan selepas itu," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dua projek yang lewat disiapkan mengikut jadual di bawah PKNK adalah Kedah Halal Park bernilai RM14.96 juta dan projek pembinaan kompleks stesen bas ekspres Sungai Petani bernilai RM8.7 juta.

"Projek ini menghadapi masalah pelaksanaan di peringkat awal yang melibatkan pihak kontraktor dan perunding," katanya.

Selain itu, katanya, alasan yang diberikan kontraktor dan pelaksana antaranya masalah perpindahan peniaga dan tiada penyelarasan bersama dengan projek Landasan Keretapi Berkembar.

"Bagi mengatasi masalah ini, PKNK diarah mengambil langkah perlu seperti mengadakan mesyuarat tapak lebih kerap dan membantu pihak kontraktor mengeluarkan perakuan bayaran interim dua kali sebulan," katanya.

Dalam tempoh RMK-9, kerajaan negeri Kedah mendapat 14 projek bernilai RM368 juta.

Daripada jumlah itu, tujuh projek diagihkan kepada PKNK dengan nilai RM81 juta sementara selebihnya kepada Kulim Technology Park Corporation Berhad di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

No comments: