Isnin, 3 Mei 2010

Prinsip meritokrasi kemasukan ke IPTA kekal

BERNAMA



Kerajaan akan terus melaksanakan prinsip meritokrasi yang menggunapakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin menegaskan kerisauan terhadap kedudukan dan prestasi pelajar Melayu dan Bumiputera di IPTA bukanlah alasan untuk menolak prinsip meritokrasi.

"Meritokrasi ini adalah satu falsafah yang menyeluruh, cumanya kita harus menggunakan dengan cara yang terbaik supaya tidak menimbulkan kesan yang buruk.

"Ini adalah masa yang terbaik untuk kita melihat kedudukan pelajar dalam universiti bukan hanya dalam sudut pendidikan semata-mata tetapi juga dari sudut lebih luas," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Ahmad Hussin pada sesi penggulungan Titah Diraja bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Ahmad meminta kerajaan menarik kembali prinsip meritokrasi yang didakwanya tidak terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan perkataan kuota.

"Buat masa ini, ini adalah dasar kerajaan dan kita akan teruskan dan langkah affirmatif seharusnya dapat meletakkan pusat pengajian tinggi kita dalam konteks yang lebih luas," kata Saifuddin.

Selain itu, b
eliau berkata, langkah affirmatif juga akan menyusun atur kehidupan rakyat Malaysia bagi menjamin supaya tiada pihak yang berasa terpinggir atau tersisih.

Mengulas ketiadaan istilah meritokrasi dalam Perlembagaan, Saifuddin berkata, "Kalau kita nak lihat semua perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan, maka adalah banyak sekali perkataan atau istilah yang tiada dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi dasar kerajaan termasuklah perkataan meritokrasi.

"Sebenarnya soal meritokrasi ini cuma satu daripada aspek iaitu aspek kemasukan pelajar ke IPT dan saya juga percaya ia juga berlaku dalam IPTS (institusi pengajian tinggi swasta). Kita perlu meletakkan meritokrasi ini pada tempatnya," katanya.


Tiada ulasan: