BERNAMA
SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen Klang hari ini menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C. Phang yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM254.85 juta dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Hakim Asmadi Hussain menetapkan 16 hari antara 25 Ogos dan 19 Nov sebagai tarikh perbicaraan.
Phang, didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini, antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.
Dia menghadapi dua lagi tuduhan yang sama masing-masing membabitkan jumlah RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Jan 2006.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Phang diwakili peguam Francis Ng Aik Guan manakala pihak pendakwaan diwakili Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup.
No comments:
Post a Comment