Rabu, 19 Mei 2010

Pengagihan Projek – Sejauh Mana Ketelusannya?


Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) menyokong tindakan Kementerian Kerja Raya (JKR) menawarkan kontrak bernilai RM65 juta bagi 19 buah projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan dilaksanakan tahun ini kepada kontraktor-kontraktor Kelas F.

Kenyataan yang dikeluarkan melalui menterinya Dato’ Shaziman Abu Mansor, pemilihan kontraktor Kelas F bagi projek-projek tersebut akan berdasarkan kepada sebut harga dan kepakaran mereka dalam bidang yang diperlukan.

Ini sedikit sebanyak akan melegakan para kontraktor yang rata-ratanya terkesan disebabkan impak kemelesetan ekonomi yang bukan hanya melanda negara kita malah boleh dikatakan tempiasnya ke seluruh dunia.


Persoalannya, sejauh mana ketelusan pihak berkaitan dalam pengagihan projek.

Apakah jaminannya bahawa projek ini benar-benar sampai kepada kontraktor yang layak ataupun hanya berlegar dikalangan ‘kroni’ sahaja? Atau lebih tepat lagi, kontrak ini hanya diberikan kepada mereka yang menjadi ahli UMNO sahaja?

Apakah keberkesanannya ‘Konsep Payung’ yang pernah diperkatakan oleh Kementerian Perumahan Sarawak ketika itu, Dato’ Amar Abang Johari Tun Abang Openg di dalam satu majlis di Kuching pada Januari 2009? Dimana arah tuju perbincangan tersebut? Apakah ianya sekadar retorik semata-mata?

Oleh itu, DPPP mengharapkan agar kerajaan dapat mengamalkan ‘Tender Terbuka’ seperti yang dijalankan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang bukan sahaja lebih telus malah lebih ‘terbuka’ dari segi pengagihannya. Kerajaan harus bersikap adil kepada semua.

Jangan hanya meng’anugerah’kan projek kepada mereka yang bukan dilihat kepada ‘capability’ tetapi kepada ‘kabel’lity. DPPP juga menuntut supaya bukan hanya kementerian tertentu yang berbuat demikian malah menuntut dilaksanakan diseluruh agensi kerajaan demi memastikan keadilan dalam pengagihan dapat ditegakkan.

HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI - KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Tiada ulasan: