Sunday, May 2, 2010

Muhyiddin demam, tidak hadir 2 majlis Umno di Janda Baik

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan retreat Umno yang diadakan di Janda Baik dekat ini semalam dan hari ini, dipercayai kerana demam.

Muhyiddin (kiri) yang juga Timbalan Presiden Umno telah dimasukkan ke hospital dan dijangka kembali bertugas Isnin ini.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri ada memaklumkan ketidakhadiran Muhyiddin pada kedua-dua pertemuan itu yang berlangsung di Pusat Latihan Umno, Janda Baik.

Mesyuarat MT diadakan petang semalam dan disusuli dengan retreat membabitkan ketua-ketua Umno bahagian yang membentangkan laporan KPI masing-masing.

Gambar majlis penyerahan borang masuk Umno oleh Adun Pelabuhan Klang, yang disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan juga menunjukkan Muhyiddin tidak menghadiri mesyuarat MT Umno semalam.

Beberapa pemimpin Umno menghadiri retreat berkata Perdana Menteri memaklumkan bahawa Muhyiddin mengidapi demam.

Bagaimanapun beliau dikatakan tidak memberikan butiran lanjut.

Ketua Umno Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed mengesahkan Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, dimasukkan ke hospital kerana demam.

“Ya, beliau demam dan telah dimasukkan ke hospital. Tetapi tidak serius,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Muhyiddin dijadual untuk menghadiri Konvensyen Antarabangsa BIO di Chicago, Amerika Syarikat mulai 3 hingga 6 Mei ini.

Bagaimanapun difahamkan kemungkinan beliau tidak akan menghadiri pertemuan itu.

No comments: