Rabu, 26 Mei 2010

MIC sudah jadi Lembu Tua dalam BN

http://msomelayu.blogspot.com/


KEMELUT kepimpinan dalam MIC nampaknya menjadikan liabiliti kepada BN. Ada tanda-tanda menunjukkan BN yang diketuai Umno kurang senang dengan krisis yang berlaku di dalam parti berkenaan. Tindak tanduk pemimpinnya dilihat sebagai memberi masalah kepada BN.

Apa yang jelas kini pemimpin Umno tidak begitu senang dengan kemelut dalam parti tersebut, terutamanya kedegilan pemimpin nombor satunya, Samy Velly untuk tidak berundur.

Kedegilan Samy Vellu itu memuakkan Umno. Sedar atau tidak sedar ada semacam campur tangan Umno bagi mengatasi kemelut dalam MIC termasuk menyingkirkan Samy Vellu.

Aksi ini dilakukan tersembunyi oleh Umno dengan memberi sokongan kepada kumpulan tertentu dalam MIC yang menyerang presiden MIC itu.

Sikap judis Umno kepada MIC ini bermula apabila parti tidak dapat mengekalkan prestasinya dalam pilihan raya umum lalu. Disebabkan corak politik diktator Samy Velly dalam MIC menjadikan parti berkenaan kalah teruk pada pilihan raya umum lalu. Gara-gara itu menjadikan BN kehilangan majoriti 2/4 di parlimen.

Sebenarnya Umno tidak boleh meletakkan kesalahan itu kepada MIC seratus peratus. Kegagalan itu juga adalah tanggungjawab Umno. Umno juga berada dalam keadaan lemah ketika menghadapi pilihan raya umum ke - 12 lalu.

Jadi kalau Umno menyalahkan MIC seratus peratus ianya sangat tidak adil. Tetapi itulah apa yang berlaku dan begitulah perangai Umno.

Parti Melayu itu mudah menunding jari kepada pihak lain tanpa melihat kesalahannya sendiri. Beginilah perangai parti yang ego dan sombong dan terus bernostalgia dengan kehebatan masa silam.

Umno terus menerus menyalahkan MIC terutamanya Samy Vellu. Mungkin alasan itu benar. Tetapi kenapa sewaktu Mahathir Mohamad menjadi presiden Umno selama 22 tahun tidak ada siapa dari Umno yang mempertikaikannya.

Tidak ada desakan besar. Kalau bukan kerana reformasi yang dipimpin Anwar Ibrahim 1998 mungkin Mahathir tidak akan turun lagi dan masih tercokol dalam Umno seperti Samy Vellu duduk atas tunggul MIC sampai berakar umbi.

Disebabkan itu apabila Umno beriya ingin menggugurkan Samy Vellu jelas Umno cuba campur tangan dalam kepimpinan MIC dan tidak menghormati piagam BN. Apa yang berlaku di Hulu Selangor baru-baru menjelaskan realiti itu.

Umno terang-terang menolak calon dikemukakan oleh MIC, G Palanivel sebaliknya mengemukakan calonnya sendiri. Kamalanthan. Penolakan Palanivel itu satu penghinaan yang mengaibkan Samy Vellu dan MIC.

Jadi apabila anak Samy Vellu Vella Paari menuduh Umno melakukan politik membunuh berdasarkan aksi-aksi Umno itu ia adalah satu kebenaran. Walaupun cara Umno ingin mengembalikan kekuatan MIC seterusnya mengukuhkan kedudukan BN, tetapi cara Umno melayan musuh-musuh Samy Vellu tidak kena.

Umno sepatutnya tidak bercakap membela Mugilan apabila Samy Vellu memecat Naib Ketua Pemuda MIC itu. Pembelaan Tengku Adnan Mansor terhadap Mugilan dengan menafikan Mugilan sebotaj calon MIC di Hulu Selangor, itu membuktikan Umno memcampuri urusan MIC secara langsung.
Campur tangan itu juga merendahkan kedudukan Samy Vellu sebagai presiden parti. Inilah menyebabkan anak Samy Velly marah kepada Umno dan bersikap membela bapanya.

Dengan apa yang berlaku dan dilakukan BN terhadap MIC kini sudah cukup untuk memberi peluang kepada parti itu mengenali stail dan budaya oportunis politik BN yang diketuai oleh Umno. Umno akan mencari kesempatan atas apa saja untuk kesenangan dan mendapat kuasa.

Umno akan menyokong mana-mana juga pihak asalkan memberi hasil kepadanya. Dan Umno sanggup menendang mana-mana sahabatnya yang tidak lagi menguntungkannya. Apa yang berlaku ke atas Pas tahun 1974 yang ditendang dari BN sepatutnya diingat oleh MIC.

Hari ini Umno lihat MIC semakin lemah dan ditolak oleh orang India. Jadi untuk apa lagi Umno terus memelihara Umno dan komponen BN. MIC dan Samy Vellu sudah jadi macam lembu tua buat Umno.

Lembu tua sudah lemah dan tidak dapat digunakan untuk melakukan kerja-kerja tenggala tanah atau menari pedati lagi. Jadi untuk apa dipeliharanya lagi sedangkan makan dan minum harus disediakan. Untuk memudahkan kerja lembu tua itu perlu dibuangkan saja.

Saya tidak mahu meramalkan sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas MIC dan Samy Vellu. Tetapi melihat kepada gaya hari ini hubungan Umno dengan MIC khususnya Samy Vellu sudah terlalu teruk dan mulai mengusut.

Apakah mungkin MIC akan ditendang dari BN atau meminta keluar dari BN, adalah sesuatu pengakhiran yang ditunggu oleh kita semua

Tiada ulasan: