Ahad, 23 Mei 2010

Lesen judi: Pemuda PAS desak Umno Kelantan nyata pendirian



Ahli Pemuda PAS memprotes kelulusan lessen pertaruhan bola di Masjed Jamek, Kajang 22 Mei 2010. — Gambar oleh Jack Ooi

KOTA BARU — Selepas mempersoalkan pendirian Pemudanya, kini Pemuda PAS negeri mendesak pula pimpinan tertinggi Umno negeri itu menyatakan pendiriannya berhubung isu lesen pertaruhan bola sepak Piala Dunia.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman ketika merujuk kepada Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamed berkata sikap membisu beliau menimbulkan keraguan rakyat negeri ini terhadap kredibilitinya sebagai seorang pemimpin.

“Bukan itu saja, bahkan ia boleh menimbulkan persepsi orang ramai dari sudut kompromi pemimpin Umno Kelantan dengan kerajaan pusat dalam soal judi ini.

“Pemuda PAS juga ingin mengetahui pendirian sebenar pemimpin itu sejauh mana kepekaan mereka terhadap isu yang berkaitan dengan hukum terutama berhubung isu lesen judi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Pemuda Umno negeri telah pun menyatakan pendiriannya menentang tindakan kerajaan meluluskan lesen tersebut kepada Kumpulan Berjaya.

Kelmarin, Pemuda PAS di lima negeri iaitu Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor mengadakan perhimpunan aman sebagai tanda memprotes tindakan kerajaan yang meluluskan lesen pertaruhan bola.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan tindakan Pemuda tersebut hanya berunsur politik.

Abdul Latiff bertegas sepatutnya pemimpin Umno yang sedikit masa dulu lantang membantah penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam menterjemahkan kejujuran serta rasa kebertanggungjawaban mereka terhadap perkara berkaitan soal hukum.

“Apatah lagi Mustapha sendiri adalah di antara pemimpin tertinggi kerajaan di peringkat pusat yang pernah mengakui kerajaan Malaysia sebuah negara Islam yang sentiasa mendokong kemuliaan agama dalam sistem pentadbirannya,” ujar Abdul Latiff.

Tambah Abdul Latiff, menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan Allah merupakan di antara perbuatan yang boleh menyebabkan rosaknya akidah seseorang.

“Saya tidak tahu sama ada Umno sudah berani mengambil hak Allah dengan menghalalkan sesuatu yang diharamkan olehNya?

“Pemuda PAS bimbang sikap membisu ini menunjukkan pemimpin Umno itu juga terlibat dalam kepentingan meraih keuntungan hasil pelesenan judi tersebut, sama ada kepentingan politik murahan, atau kepentingan kantung peribadi,” katanya.

Tiada ulasan: