Saturday, May 1, 2010

Kickdefella sahut cabaran Pas



SINAR HARIAN ONLINE

KOTA BHARU-Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, beliau sedia mendedahkan individu yang memberikan wang lebih RM 4juta untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi memburukkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang dikenali sebagai Kickdefella bagaimanapun berkata, pendedahan tersebut tidak perlu dilakukan secara terburu-buru dan akan melakukannya apabila tiba masa yang sesuai.

”Saya menanti Setiausaha Akhbar Menteri Besar membawa isu ini kepada ‘pimpinan parti’ dan jika ‘pimpinan parti’ bersependapat dengan Setiausaha Akhbar itu bahawa saya perlu dedahkan nama individu-individu tersebut, diharap Setiausaha Akhbar Menteri Besar akan dapat membuat pengumumannya.

“Isu pokok di sini ialah golongan ini mempertikaikan sumbangan saya selepas tiga tahun berkhidmat dengan kerajaan Kelantan dan saya akan dedahkan siapa yang memberi dan bagaimana wang ini digunakan apabila tiba masanya nanti,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Fadhli yang memintanya supaya membuat pendedahan siapa penyumbang peruntukkan untuk menjalankan operasi gerak saraf untuk melemahkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum ini, blogger tersebut mengakui menerima peruntukkan sebanyak RM4 juta untuk melakukan operasi gerak saraf Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi seterusnya mempermudah bagi Pas menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Bagaimanapun Kerajaan Pas Kelantan sehingga sekarang tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu malah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Syed Azidi berkata, beliau belum bersedia untuk menemui Abdullah dalam masa terdekat kerana bimbang ia akan menimbulkan tanggapan negatif.

No comments: