Sunday, May 2, 2010

GPMS tawar keluarga Aminulrasyid peguam pemerhati

BERNAMA / TERKINI


SHAH ALAM— Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini menawarkan khidmat peguam pemerhati kepada keluarga remaja yang mati akibat terkena tembakan polis dalam kejadian Isnin lepas, Aminulrasyid Amzah, 15.

Timbalan Presiden GPMS Rosdi Amir berkata tawaran itu dibuat untuk menyalurkan maklumat sebenar sekiranya terdapat prosiding mahkamah bagi memastikan kes berkenaan tidak dimanipulasi atau disensasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelajar, kita terpanggil untuk tampil mengetahui kejadian sebenar kes ini dan menawarkan bantuan yang boleh kepada keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Aminulrasyid di Jalan Mak Yong 11/2G, di Seksyen 11 di sini.

Beliau berkata peguam pemerhati yang ditawarkan itu terdiri daripada peguam yang juga merupakan anggota GPMS.

Rosidi berkata GPMS juga berharap tiada pihak yang mempolitikkan isu terbabit kerana tidak adil bagi keluarga mangsa apabila sesetengah pihak menjadikan kes ini sebagai platform untuk kepentingan politik mereka.

“Sekarang bukan masanya untuk jadi hero, sebaliknya berusaha membersihkan nama keluarga mangsa dan menunggu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab,” katanya.

Pada kejadian pukul 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri ketika terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan Seksyen 11 di sini.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Irmohizam Ibrahim berharap kerajaan mengkaji semula keperluan memasang kamera litar tertutup (CCTV) pada kereta peronda polis seperti di negara-negara maju supaya boleh dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku sesuatu.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata beliau telah mencadangkan kepada kerajaan sejak 2006 supaya setiap kereta peronda polis dilengkapi kamera video bagi memudahkan pegawai terbabit merakam setiap insiden yang berlaku namun cadangan itu tertangguh kerana tiada peruntukan.

Irmohizam, yang juga Ketua Penerangan GPMS meminta orang ramai, termasuk pihak media supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mendengar khabar angin mengenai kes kematian Aminulrasyid.

“Kita harap masyarakat faham... tunggu sehingga siasatan habis dijalankan untuk tahu perkembangan kes itu,” katanya.

No comments: