Monday, May 3, 2010

Ekonomi PP Diunjur Berkembang 4.7% 2010

BERNAMA


n_12ahmad GEORGETOWN: Ekonomi Pulau Pinang diunjur berkembang sebanyak 4.7 peratus tahun ini berbanding 3.2 peratus tahun lepas, kata Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Beliau berkata tanda pemulihan ekonomi negeri ini boleh dilihat dari segi pengurangan bilangan pekerja yang diberhentikan iaitu seramai 3,565 orang tahun lalu berbanding 5,776 orang pada tahun sebelumnya.

"Selain itu, pada tahun lalu terdapat 2,319 kekosongan jawatan dilaporkan yang merangkumi sektor pertanian, perkhidmatan hotel, kuari, pembuatan, pengangkutan dan perkhidmatan sosial," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-12 hari ini.

Abdul Rahman juga berkata kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM12.56 bilion kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Dari segi pelancongan pula, katanya kerajaan negeri mensasarkan ketibaan pelancong melebihi 6 juta orang tahun ini dengan sasaran pendapatan RM10.8 bilion.

"Kerajaan negeri juga akan menarik pelaburan sektor swasta dalam beberapa produk pelancongan baru seperti Auto City Theme Park yang akan dibina di persisiran Sungai Juru dengan anggaran kos bernilai RM10 juta dan pembinaan Eco-Fun Theme Park di Teluk Bahang yang berharga RM120 juta," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan turut menumpukan kepada pelancongan perubatan kerana ia adalah antara penyumbang utama pendapatan sektor pelancongan negeri.

"Bagi tahun 2009, sejumlah RM162 juta disumbangkan oleh sektor ini. Kerajaan negeri mensasarkan peningkatan pendapatan kepada RM190 juta bagi tahun 2010," katanya.

Abdul Rahman melahirkan rasa syukur kerana dapat merasmikan persidangan kali ini dan meminta semua Anggota Dewan melaksanakan tugas mereka dengan baik.

Beliau sebelum ini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang berikutan masalah kesihatannya. Ekoran itu persidangan Dewan yang pada mulanya dijadual pada 19 April lalu ditangguhkan ke hari ini.


No comments: