Isnin, 24 Mei 2010

Biasiswa JPA: Isu berulang, MIC minta campur tangan PM

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Naib Presiden MIC Datuk S.K. Devamany mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan kerana ramai pelajar cemerlang masyarakat India tidak mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengikuti pengajian matrikulasi.

“Perdana Menteri mesti campur tangan dan memberikan penyelesaian kepada layanan tidak adil dan bias dalam pemilihan anugerah biasiswa JPA bagi pengajian di luar negara,” kata Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu beliau mendakwa JPA tidak faham sepenuhnya konsep 1 Malaysia yang digerakkan oleh pentadbiran kepimpinan Najib.

Oleh itu tegas beliau, JPA mesti mengkaji semula kriteria pemilihan anugerah biasiswa ini.

“Ramai pelajar dan ibu marah dengan perkembangan ini,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

Keputusan permohonan biasiswa dikeluarkan minggu lalu.

Bagaimanapun Devamany tidak menyebut bilangan pelajar masyarakat India yang gagal memperoleh biasasis JPA kali ini.

Isu ini muncul semula tahun ini.

Kata Devamany, keutamaan biasiswa JPA seharusnya ditawarakan berdasarkan meritokrasi dan pelajar keluarga miskin tetapi mencapai prestasi cemerlang dalam akademik.

“Ini adalah hala tuju nasional,” katanya.

“Apabila pelajar-pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A, aktif dalam aktiviti kokurikulum tetapi dinafikan hak biasiswa meskipun memenuhi semua kriteria, mereka menjadi kecewa kerana kerja keras mereka dan usaha tidak mendapat balasan yang setimbal,” katanya.

Beliau juga meminta pelajar-pelajar yang gagal memperoleh biasiswa agar mengemukakan rayuan.

Semalam, seorang lagi Naib Presiden MIC Datuk Dr. S.Subramaniam menasihati pelajar yang gagal mendapatkan tempat bagi mengikuti program metrikulasi di universiti awam dan biasiswa daripada JPA bagi mengikuti program ijazah di luar negara supaya mengemukakan rayuan.

Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, beliau akan membawa rayuan mereka kepada pihak berkuasa berkenaan.

“Banyak pelajar, yang permohonan mereka ditolak, telah menghubungi saya dan saya menasihati mereka supaya membuat rayuan,” katanya.

Subramaniam berkata beberapa tahun lepas, isu serupa telah beberapa kali dibincangkan oleh Kabinet dan hasilnya, penambahbaikan telah dibuat terhadap sistem pemilihan calon bagi program itu.

Isu seperti pencapaian akademik, kuota kaum dan latar belakang ekonomi keluarga telah diambil kira dalam sistem pemilihan calon (bagi biasiswa JPA) dan hasilnya, banyak pelajar keturunan India mendapat biasiswa pada tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, masalah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, termasuk yang mendapat 10 A+ tidak mendapat biasiswa, kini muncul kembali.

Tiada ulasan: