Selasa, 25 Mei 2010

Azhar tak kenang budi - Lim Guan Eng

Ali Hashim


PENAGA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) membidas Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Azhar Ibrahim berhubung isu projek perumahan kos rendah di Taman Kuala Sungai Pinang.

Azhar yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) sebelum ini menyalahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ekoran masalah banjir kilat akibat sistem perparitan tidak sempurna di kawasan pembinaan projek berkenaan.

Namun menurut Guan Eng, masalah tersebut sebenarnya berpunca dari kesilapan pelaksanaan projek Perda itu sendiri.

"Pihak berkuasa tempatan MPPP, telah pun menjalankan siasatan serta mendapati punca masalah yang melibatkan banjir kilat dan menyusahkan penduduk ini adalah kerana kesilapan dalam pelaksanaan projek Perda tersebut," katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini memberi kelonggaran kepada Perda membangunkan projek tersebut, namun akibat masalah itu kerja-kerja pembinaan oleh Perda tersebut dihentikan.

Menurut Guan Eng lagi, kelonggaran yang diberikan kerajaan negeri memberikan projek berkenaan kepada Perda di bawah ketua pembangkang telah disalahgunakan dan diambil kesempatan.

"Walaupun kerajaan negeri berniat baik dan ingin membantu Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh ketua pembangkang yang juga Adun Penaga, namun begitu ia telah disalahgunakan dengan mengambil kesempatan diatas ketulusan yang kita berikan.

Tambahnya lagi, itulah akibat yang diterima oleh kerajaan negeri hasil daripada ketulusan yang ditunjukkan tanpa mengambil kira ideologi politik semua pihak.

Mulai saat ini tegasnya, kerajaan negeri akan lebih tegas dalam mana-mana projek yang dilaksanakan supaya ia tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu dengan menyalahkan PBT dan kerajaan negeri.

"Mereka ini tidak juga mengenang budi kerajaan negeri, sebaliknya lebih menyukarkan keadaan dan memberi kesulitan kepada penduduk yang terlibat dengan projek pembangunan yang mereka laksanakan apabila sistem peparitan yang tidak sempurna sepertimana yang berlaku di Taman Kuala Sungai Pinang," jelasnya.

Lim berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Penaga, Kepala Batas, Seberang Perai Utara malam tadi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain.

Tiada ulasan: