Sabtu, 1 Mei 2010

Anggota TUDM maut dilanggar kereta

BERITA HARIAN ONLINE


SEREMBAN: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dilanggar sebuah kereta setelah terjatuh daripada motosikal yang ditunggangnya dalam kemalangan di KM 281.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini, malam tadi.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, Mohd Ridzuan Abu, 28, yang sedang menunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke rumahnya di Jasin, Melaka.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri di lorong tengah lebuh raya itu gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh.

Katanya, walaupun sebuah kereta sempat mengelak daripada melanggar mangsa yang terbaring di tengah jalan, namun sebuah lagi kereta jenis Proton Wira gagal mengelak lalu terlanggar anggota tentera itu menyebabkan dia maut di tempat kejadian.

"Sebuah Peugeot turut terbabit dalam kemalangan itu apabila melanggar belakang Proton Wira berkenaan," katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan, mati di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja''afar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan ASP, Abd Halil Hamzah, mengesahkan kejadian itu dan berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban Insp Ahmad Khairi Roslan di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: