IPOH: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak akan memanggil ketua agensi yang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berhubung perbelanjaan melebihi RM1 juta untuk beberapa perasmian majlis, kata Pengerusinya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.
Beliau berkata, penjelasan dan laporan penuh daripada ketua-ketua jabatan berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dalam tempoh sebulan.
"Ketua agensi akan dipanggil untuk mendapatkan perincian bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan. Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat hari ini apabila kita dapat tahu masalah ini melalui laporan audit dan seterusnya bersetuju untuk memanggil ketua-ketua jabatan yang terlibat.
"Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan peruntukan sewenang-wenangnya. Sudah tentu tidak masuk akal bila ada perasmian majlis mereka menggunakan perbelanjaan berlebihan dan tidak ada perincian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC Perak di sini hari ini.
Beliau berkata, PAC hanya bertanggungjawab menyediakan laporan manakala tindakan lanjut bergantung kepada budi bicara Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Raja Ahmad Zainuddin berkata, PAC hanya menyiapkan laporan audit yang tertunggak dan membuat laporan berhubung sesuatu laporan itu.
"Tanggungjawab PAC adalah ke arah memperbaiki dan bukan untuk mencari salah. Hanya Datuk Seri Dr Zambry dan Datuk Seri Dr Abdul Rahman yang boleh memutuskan segala tindakan terhadap pihak berkenaan," katanya.
Beliau berkata, agenda utama PAC kini adalah menyiapkan semua laporan lapuk sehingga 2008 dalam masa terdekat untuk dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Selain itu katanya, PAC juga akan memanggil satu agensi kerajaan yang gagal menyiapkan projek perumahan sehingga menyebabkan lebih 500 unit rumah tidak dapat disiapkan dan diduduki.
Katanya, malah terdapat antara unit rumah tersebut yang gagal disiapkan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh lagi.
No comments:
Post a Comment