Saturday, May 1, 2010

5 Keadilan Buat Allahyarham Aminurrasyid

Nasrudin Hassan at-Tantawi


5 Keadilan Buat Allahyarham Aminurrasyid

1. Terlebih dahulu , marilah kita mengalungkan Ummul Kitab buat Allahyarham Adik Aminurrasyid Amzah [15 th] yang ditembak mati oleh seorang anggota Polis Di Raja Malaysia 26 April 2010 baru - baru ini .

2. Ianya adalah sebuah tragedi yang sungguh malang dan sekali lagi mengheret PDRM menghadapi krisis kredebiliti mereka yang semakin dipersoalkan .

3. Sebelum ini Shahril Azlan Ahmad Kamil [25 th] turut mengalami peristiwa ngeri apabila terkena tembakan rambang seorang anggota polis pada 16 April 2009 yang lalu .

4. Norizan Salleh [30 th] juga pernah menjadi mangsa tembakan tanpa sebab oleh seorang anggota polis sebanyak 5 kali di bahagian dada dan tangannya dalam satu peristiwa [ 30 Okt 2009 ] yang hampir meragut nyawanya dan membuatkan beliau parah dan terlantar 2 minggu dihospital .

5. Begitu juga pengalaman ngeri yang dihadapi oleh Suwandi Abdul Ghani [37 th ] dan Muhammad Azman Aziz [ 21 th ] yang ditembak polis dengan peluru hidup dalam jarak dekat oleh seorang anggota polis sewaktu menyuraikan satu perhimpunan aman di Batu Buruk pada 8 sept 2007 yang lalu .

6. Mohammad Tawfiq Noorzan [ 22 th ] juga mati ditembak oleh seorang anggota Polis yang berpengalaman di Guar Sanji Perlis [ 14 Nov 2009 ] . Bapanya memberitahu bahawa Mohammad Tawfiq tertiarap berlumuran darah setelah ditembak dadanya , dalam keadaan tangannya bergari .

7. Berlaku adil dalam menghadapi isu ini [ Aminurrasyid ] , saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa supaya :

Pertama : Tubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi menyiasat secara adil dan telus kes ini . Bukan tidak percaya kepada polis tetapi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap keadilan dan ketelusan dalam siasatan . Jika polis siasat polis tentu sahaja ia tidak meyakinkan , apatah lagi peristiwa ini bukan sekali dan pertama kali tetapi semakin kerap berulang .

Kedua : Anggota polis yang terbabit mestilah ditahan reman agar ia tidak bebas berada di luar justeru rakyat turut rasa bimbang terhadap keselamatan saksi sekaligus mengelakkan kemungkinan saksi dipaksa atau dipengaruhi .

Ketiga : SUHAKAM mestilah memainkan peranan dan mengambil langkah berkesan agar kejadian serupa tidak berulang dan pesalahnya mestilah dihukum setimpal . Insyaallah pada hari ISNIN [ 3 Mei 2010 ] pada jam 2.30 petang Pemuda PAKATAN Rakyat akan pergi ke SUHAKAM bagi membawa suara pembelaan dan keadilan buat Allahyarham Aminurrasyid .

Keempat : Polis Di Raja Malaysia [ PDRM ] dan beberapa pihak media mestilah menarik balik tuduhan kononnya Adik Aminurrayid adalah penjenayah yang wajar ditembak mati justeru untuk menghalalkan tindakan mereka menembak tepat ke bahagian belakang kepala Allahyarham . Mereka juga mestilah memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat seluruhnya . Sungguhpun PDRM menghadapi cabaran sukar sewaktu menjalankan tugas namun kes seperti Aminurrasyid tidak boleh dipandang sebelah mata . Polis adalah Polis Di Raja Malaysia [PDRM] bukan Polis Raja Di Malaysia [ PRDM ]

Kelima : Perbetulkan tanggapan atau persepsi umum terhadap kewibawaan pihak Polis sebagai pasukan beruniform yang paling bertanggungjawab menjaga keselamatan negara dan rakyatnya. Janganlah sampai rakyat sendiri rasa tidak selamat dan aman terhadap pasukan beruniform ini . Campur tangan Yang diPertuan Agong mungkin wajar memandangkan pasukan polis adalah Polis Di Raja Malaysia .

8. Polis mestilah bersikap profesional menghadapi situasi ini dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan tidak perlu melatah sehingga menjatuhkan kredebiliti dirinya sendiri apabila bingkas mengugut rakyat bahawa beliau bersedia untuk mengarahkan pasukan polis agar tidak lagi berkawal jika itu yang dikehendaki oleh rakyat !

9. Saya rasa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan agak emosi dan gagal memahami kehendak rakyat yang sebenarnya . Rakyat bukan persoalkan kawalan yang dibuat oleh pihak polis tetapi apa yang dipersoalkan ialah tindakan polis yang terburu - buru , tidak profesional dan tidak berhati - hati sewaktu memilih untuk bertindak dengan menggunakan senjata api .

10. Kesilapan dan kesalahan adalah kelemahan manusia . Isunya ialah jangan menyembunyikan kesilapan atau kesalahan apalagi angkuh mempertahankan kesalahan tersebut. Pesalah mestilah bersedia untuk menerima hukuman setimpal justeru itu adalah keadilan.

* Nasrudin Hassan at-Tantawi KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

No comments: