PUTRAJAYA: Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dan badan Bukan Kerajaan (NGO) menyelar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein kerana enggan bertemu sendiri dengan mangsa tembakan polis, Norizan Salleh dan menerima memorandum daripada mereka.
Kira-kira 20 wakil dari PR ke bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya kira-kira jam 11.30 pagi tadi bagi menyerahkan sendiri kepada Hishammuddin memorandum berhubung pendedahan Norizan itu namun malangnya kehadiran mereka tidak disambut baik oleh pihak Menteri.
Pada awalnya, pihak keselamatan memberitahu bahawa Hishammuddin ada di pejabatnya dan membenarkan tujuh orang masuk menemui beliau namun selepas itu, setiausaha sulit kanan beliau yang dikenali sebagai Azmi, keluar menemui mereka di lobi bangunan dan secara tergesa-gesa meminta mereka menyerahkan segera memorandum berkenaan kepadanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Hishammuddin tiada di pejabat dan seolah-olah tidak mahu mengambil tahu apa yang ingin disampaikan oleh mereka.
Sikap tidak mesra tetamu yang ditunjukkan Azmi itu menyebabkan berlakunya sedikit kekecohan apabila mereka bertegas mahu menemui Hishammuddin sendiri bagi menunjukkan keadaan Norizan yang tangannya masih berbalut, serta menyerahkan memorandum itu kepda beliau.
Azmi bagaimanapun tidak mempedulikan permintaan itu sebaliknya terus meninggalkan mereka tanpa cuba menyelesaikan pertelingkahan itu secara baik.
Bercakap kepada media selepas itu, pimpinan PR yang hadir menyuarakan kekesalan di atas sikap tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan pihak Menteri.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, pihak menteri sepatutnya mendengar sendiri daripada mangsa mengenai apa yang berlaku, bukan menunjukkan sikap angkuh.
"Saya sebagai Ahli Parlimen Ampang, sangat kecewa dengan sikap setiausaha sulit kanan Hishammuddin kerana tidak ada sikap mesra rakyat langsung.
"Saya percaya beliau tidak tahu langsung cerita mengenai Norizan ini. Sepatutnya beliau mendengar dahulu daripada kami mengenai kes ini sebelum bertindak sombong dengan kami.
"Hari ini terbukti slogan Perdana Menteri, Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan, kosong. Mereka langsung tidak menunjukkan sikpa mesra rakyat seperti yang dilaungkan," tegasnya.
Timbalan Ketuanya, Rodziah Salleh yang juga Exco Kerajaan Selangor pula meminta Kerajaan membuktikan slogan 1Malaysia yang dicanang mereka selama ini.
"Saya nampak isu ini begitu serius kerana jika perkara begini boleh berlaku kepada kami yang telah diberikan mandat oleh rakyat, cuba bayangkan bagaimana jika Norizan datang seorang diri, sudah tentu kehadirannya langsung tidak dihiraukan.
"Jadi saya minta Kerajaan tolong buktikan slogan yang mereka laungkan selama ini," ujarnya.
Setiausaha Dewan Muslimat PAS, Kartini Ahmad pula berkata, pihaknya akan terus menyokong sebarang tindakan yang diambil oleh Pakatan Rakyat dan NGO dalam memastikan Norizan mendapat keadilan yang sewajarnya.
"Kami dari Muslimat PAS sangat terkejut dengan kes ini.Walaupun ianya sudah berlaku lama, tapi belum ada sebarang tindakan dari pihak kerajaan untuk memberi pembelaan kepada Norizan.
"Jadi kami akan terus memberi sokongan kepada sebarang tindakan yang diambil untuk membantu Norizan sehingga kes ini selesai,". katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam berkata, mereka akan menyerahkan meorandum berkenaan kepada Hishammuddin di parlimen yang akan bersidang pada Mac depan.
"Kita memang bawa memorandum. Bukan datang tangan kosong.Kita akan jumpa Hishammuddin di parlimen bulan depan.Kita akan bawa Norizan ke parlimen dan serahkan memorandum. Di Parlimen Hishammuddin tak boleh lari seperti hari ini," katanya.
Turut hadir pagi tadi, Timbalan Ketua Wanita Dapsy kebangsaan, Jenice Lee Ying Ha yang juga Adun Teratai, Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya, dua peguam Norizan, N. Surendram dan Fadiah Nadwa Fikri.
Pada awal pagi 30 Otober 2009, Norizan telah ditembak polis ketika berada dalam kereta, malah ditendang sehingga patah tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta, dengan darah yang mengalir dari tubuhnya. Sejumlah lima tembakan ditujukan kepadanya, dengan dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan, satu pada dada, di samping dua lagi terlepas tetapi meninggalkan luka.
Norizan buat pertama kali mendedahkan perkara itu dalam satu sidang media pada Januari lepas. Ia disusuli dengan penyerahan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Bukit Aman pada 4 Feb 2010 dan selepas itu ke Suhakam pada 11 Februari lepas.
Namun sehingga kini, aduannya belum mendapat respon daripada kerajaan.
Sehubungan itu, beliau pagi tadi merayu kepada Menteri yang bertanggungjawab agar mengambil perhatian terhadap kes beliau itu yang didakwa telah menjejaskan kehidupannya.
"Saya sedih bila saya datang sendiri ke sini, pihak Menteri tidak mahu ambil tahu kisah saya. Saya tidak tahu kenapa saya ditembak, dan akibatnya saya terpaksa menanggung kos rawatan sebanyak RM18 ribu. Mana saya nak cari duit," luahnya kesal. |
No comments:
Post a Comment