BERNAMA
KUALA LUMPUR - Penulis blog Anduka Taruna yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail perlu membuat permohonan maaf secara formal di hadapan Hakim Mahkamah yang akan membicarakan kesnya kelak.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim Berkata, blogger itu juga boleh memohon maaf secara formal kepada keluarga Diraja Johor sendiri.
"Jika seseorang itu ingin memohon maaf mereka boleh buat secara formal di mahkamah yang merupakan satu faktor mitigasi di mahkamah. Memohon maaf kepada keluarga diraja pula soal di luar undang-undang, (dan) terserahlah kepada budi bicara pihak diraja berkenaan sama ada menerima atau tidak. Tetapi lunas undang-undang tetap harus berjalan," katanya pada satu sidang akhbar, di sini.
Penulis blog berusia 29 tahun itu dilaporkan telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu pada Isnin lepas dan direman selama empat hari untuk pihak polis menjalankan siasatan.
Dia kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog itu dan menarik balik artikel yang dipersoalkan itu.
No comments:
Post a Comment