BERNAMA
KAMPAR: Mayat mangsa ketiga dan terakhir yang dihanyutkan arus deras apabila jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar di sini runtuh Isnin lalu ditemui hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Aziz Yusof berkata mayat Diryasree a/p Vasudevan, 12, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng ditemui pada pukul 10.45 pagi tadi berhampiran Tronoh Mine, Sungai Kinta, 25 km dari tempat kejadian.
Mayat mangsa yang ditemui terapung oleh pasukan penyelamat telah dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya di sini hari ini.
BERITA TERDAHULU
KAMPAR: Mayat seorang lagi murid perempuan yang dihanyutkan arus deras apabila jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar di sini runtuh Isnin lalu, ditemui malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Aziz Yusof berkata mayat Davadharshini a/p Maheswaran, 11, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan ditemui terapung pada pukul 11.30 malam tadi berhampiran Jambatan Mat Selangor, Tanjung Tualang, 15 km dari tempat kejadian.
Mayatnya yang ditemui oleh anggota RELA telah dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita hari ini.
Aziz berkata keluarga mangsa telah diberitahu berhubung penemuan mayat tersebut dan mayat mangsa akan dituntut oleh keluarganya hari ini untuk dikebumikan.
Operasi mencari seorang lagi mangsa, Diryasree a/p Vasudevan, 12, dari Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng masih diteruskan membabitkan lebih 200 anggota penyelamat, katanya.
Sebelum ini mayat mangsa pertama Dina Dewe a/p Nathan, 11, ditemui pada pukul 8.40 pagi Selasa lalu berhampiran loji di sungai itu kira kira empat kilometer dari tempat dia terjatuh.
Tiga mangsa tersebut adalah antara 22 murid yang dihanyutkan arus deras apabila jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar runtuh pada malam Isnin lalu.
Bagaimanapun 19 mangsa berjaya diselamatkan oleh guru dan pengawal sekolah terbabit.
No comments:
Post a Comment