Selasa, 2 Jun 2009

Tiada sekatan media buat liputan Muktamar PAS

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


SHAH ALAM: PAS tidak akan menyekat mana-mana media untuk membuat liputan sepanjang Muktamar parti itu yang akan berlangsung bermula Jumaat ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali berkata, parti itu tidak pernah mengadakan sekatan kepada media termasuk media kerajaan dalam membuat liputan.

"Tahun demi tahun, kita tidak pernah menyekat mana-mana media.

"Bagaimanapun, kita harap liputan yang dilakukan adalah profesional, tidak berat sebelah dan tidak mengambil kesempatan untuk mengutuk mana-mana pihak," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada parti itu mengenakan sekatan terhadap mana-mana media pada Muktamar Tahunannya ke-55 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Stadium Malawati, di sini.

Selain Muktamar Pusat, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat juga akan mengadakan Muktamarnya yang akan berlangung pada Khamis ini masing-masing di Auditorium Muzium Negeri Selangor di sini, Taman Melewar Gombak dan Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam di sini.

Muktamar tahun ini juga menyaksikan pemilihan pusat bagi jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.

Ketika ditanya mengenai penyandang yang juga calon Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang dilihat seperti berpeluang berkempen di saat-saat akhir kerana akan merasmikan Mukmatar bagi Dewan Pemuda dan Muslimat, Dr Hassan menafikan perkara itu kerana katanya, dalam sistem PAS, perasmian Muktamar Dewan-Dewan akan dilakukan Timbalan Presiden.

"Ini tradisi dalam sistem PAS, maknanya memang secara tradisinya kalau perasmian (Dewan) dilakukan oleh Timbalan Presiden.

"Jadi kita kekalkan tradisi sama ada waktu pemilihan atau bukan pemilihan, benda ini berjalan seperti itu.

"Saya yakin Timbalan Presiden tahu membezakan apabila menyampaikan ucapannya...saya faham, beliau sangat faham yang mana kempen, yang mana tidak kempen," katanya.

Berhubung sama ada kemungkinan kira-kira 1,000 perwakilan yang hadir telah membuat keputusan mengenai calon pemimpin yang akan dipilih mereka, Dr Hassan berkata, beliau percaya, kebanyakan perwakilan telah menetapkan calon mereka.

"Dalam kepala itu sudah ada (calon), macam saya. Hanya mungkin di saat-saat akhir kita pun tidak tahu apa yang berlaku.

"Mungkin ada keadaan tertentu yang akan memujuk saya untuk mengubah arah tetapi rata-rata memang sudah tahu siapa yang akan dipilih," katanya.

Tiada ulasan: