Selasa, 30 Jun 2009

Tangguh pindaan

BERNAMA


KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja hari ini memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Pada satu mesyuarat khas itu, Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu, demikian menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat selama dua setengah jam di Istana Negara itu dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat ke mesyuarat itu.

Pada 22 April lepas, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak.

Jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak menjadi mangsa.

Tiada ulasan: