Selasa, 30 Jun 2009

100 kasino tawar pertaruhan judi haram melalui Internet

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Kasino mini yang tidak berdaftar kini membanjiri semua tempat di Lembah Klang berikutan dengan adanya perisian yang membolehkan sindiket tempatan berhubung terus dengan sindiket dari Hong Kong dan Filipina.

Dengan menggunakan teknologi kamera web, sindiket tersebut akan menyiarkan secara langsung pertaruhan yang dibuat oleh pelanggan menerusi satu program komputer yang khas.

Menurut sumber, terdapat lebih kurang 100 kasino yang tidak berdaftar dan ada yang menjadikan kafe siber sebagai tempat untuk menyembunyikan kegiatan perjudian haram yang dijalankan.

Kedai ini menyediakan semua jenis pertaruhan 'online' seperi judi, bola golek, pakau dan 'blackjack' melalui persidangan video secara langsung.

Untuk membuktikan bahawa pelanggan sedang bermain secara langsung, setiap kedai menyediakan skrin televisyen yang menyiarkan rancangan CNN dan juga diletakan satu lagi televisyen dibelakang mereka yang memaparkan program yang sama.

Bagi membuktikan lagi bahawa permainan tersebut diadakan secara langsung, pelanggan boleh berkomunikasi dengan pemain lain memelalui mod borak yang terdapat dalam perisian komputer.

Wang pelanggan akan ditukar ke dalam bentuk cip siber dan jumlahnya akan dipaparkan di komputer pelanggan sebagai wang yang dipertaruhkan.

E-kasino adalah perniagaan yang sangat berjaya di Filipina dan diurus oleh syarikat yang dipunyai kerajaaan, Pilweb corporation. Pada suku pertama tahun ini sahaja syarikat tersebut berjaya memperolehi keuntungan sebanyak 20 juta US dolar.

Tujuan kerajaan Filipina menubuhkan syarikat tersebut ialah meningkatkan dana untuk projek-projek sosial dan membanteras aktiviti perjudian haram.

Tiada ulasan: