Isnin, 29 Jun 2009

Diabetes ancam 350 juta nyawa penduduk dunia menjelang 2025

UTUSAN ONLINE


BERA - Penyakit diabetes terus mengancam penduduk dunia dengan kira-kira 350 juta dijangka berdepan dengan masalah itu menjelang 2025 berbanding 250 juta orang tiga tahun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengikut Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan (NHMS), bilangan penduduk negara ini yang menghidap diabetes meningkat secara ketara terutama di kalangan mereka berusia 30 tahun ke atas.

Katanya, berdasarkan kajian itu, bagi setiap 1,000 penduduk, sekurang-kurangnya 15 orang merupakan pesakit diabetes dan kadar itu akan meningkat sekiranya langkah-langkah kawalan tidak diambil segera.

"Dianggarkan enam juta penduduk dunia menghidap diabetes setiap tahun ekoran amalan gaya hidup yang tidak sihat terutama tabiat pengambilan makanan mengandungi kandungan gula yang tinggi dan kurang melakukan aktiviti fizikal serta senaman," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menutup Kem Diabetes Sihat 2009 peringkat negeri di Kompleks Rakan Muda Bera di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Mohd. Azizan Che Omar. Menurut Ismail Sabri, di Pahang, wanita paling ramai menghidap diabetes iaitu 13.9 peratus berbanding lelaki hanya 9.3 peratus.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mencegah diabetes.

"Diabetes tidak boleh dipandang ringan kerana komplikasi penyakit itu merangkumi sakit jantung, kegagalan fungsi buah pinggang, menjadi buta, angin ahmar dan amputasi kaki," kata beliau.

Tiada ulasan: