Isnin, 29 Jun 2009

Bergaduh: Polis tahan 17 pelatih PLKN Kem China

MALAYSIA KINI


Polis menahan 17 pelatih lelaki program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem China berusia 17 hingga 18 tahun, ditahan untuk membantu siasatan mengenai pergaduhan yang berlaku di kem tersebut malam tadi.

Dalam kejadian itu, empat pelatih PLKN cedera ringan, dipercayai berpunca daripada pertengkaran mulut yang berlaku antara dua orang pelatih.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman berkata dalam kejadian pukul 8 malam tadi itu, empat pelatih itu dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Beliau berkata kejadian dipercayai berpunca apabila dua pelatih lelaki yang berusia 17 dan 18 tahun bertengkar kerana rasa tidak puas hati antara satu sama lain ketika sedang berkumpul dalam satu perhimpunan anjuran pihak kem, lapor Bernama.

"Apabila suasana menjadi semakin tegang dan tidak terkawal, maka berlaku tolak-menolak antara mereka sehingga menyebabkan para pelatih lain turut masuk campur," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, dua pelatih terbabit dibantu oleh rakan masing-masing dan saling berbalas tumbuk sehingga empat daripada mereka mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan lengan.

Yahaya berkata jurulatih-jurulatih PLKN yang bertugas berjaya meleraikan pertelingkahan itu beberapa minit kemudian dan mengumpulkan kesemua pelatih di padang itu bagi mengelak lebih ramai lagi pelatih terlibat selain memberi rawatan kepada mereka yang cedera.

"Pergaduhan yang berlaku merupakan satu kejadian yang serius dan polis bertindak menahan semua yang terlibat bagi mencari punca sebenar pergaduhan," katanya.

Tiada ulasan: