Ahad, 28 Jun 2009

Krisis Perak: Permohonan ditolak, hanya 5 hakim dengar kes Nizar

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan hanya panel lima hakim akan mendengar rayuan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membatalkan pengisytiharaan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar negeri itu.

Mahkamah memaklumkan Nizar keputusan itu kelmarin.

Mengumumkan perkara itu semalam, peguam Nizar, Leong Cheok Keng berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan permohonan anggota panel penuh 11 hakim.

"Surat yang difaks ke firma saya semalam (kelmarin), jawapan kepada permintaan kami ialah (panel) Mahkamah Persekutusan hanya akan terdiri daripada lima orang hakim.

"Tiada alasan atau penjelasan diberikan atas penolakan (permohonan) itu," kata beliau dalam kenyataan yang diemelkan petang semalam.

Nizar dari Pakatan Rakyat memohon panel penuh 11 hakim Mahkamah Persekutuan agar mendengar rayuan beliau membatalkan pengisytiharaan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

RAYUAN NIZAR

Minggu lalu, Nizar menekankan bahawa panel 11 hakim itu amat perlu memandangkan rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap mahkamah untuk menyampaikan keputusan adil dan saksama bagi menyelesaikan krisis politik Perak.

Sehubungan itu, Leong memberitahu, oleh kerana barisan anggota penuh adalah penting untuk mengembalikan keyakinan terhadap sistem kehakiman bahawa tiada amalan "memilih hakim" selain memastikan kebebasan menyeluruh, penolakan permohonan adalah sesuatu yang amat mengecewakan rakyat Malaysia.

Leong berkata, beliau akan menasihatkan Nizar agar mempertimbangkan dengan serius untuk tidak meneruskan permohonan tanpa manfaat panel hakim rayuan yang lebih besar.

"Pada masa yang sama, saya akan menulis kepada mahkamah agar mempertimbangkan permohonan menambah panel dan juga sebab-sebab permohonan mereka telah ditolak," katanya.

Kelmarin, salah seorang hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Md Raus Sharif mengeluarkan alasan penghakiman yang mengatakan bahawa tindakan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah betul kerana dewan itu baru sahaja berumur setahun.

Dalam penghakiman 49 muka surat bertarikh 2 Jun itu, Raus berkata, bagi membolehkan DUN dibubarkan mengikut Artikel 36 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak seperti yang dimohon oleh Nizar, ia perlu menamatkan tempoh lima penggal apabila satu pilihan raya bakal diadakan.

"Faktanya sudah diketahui umum bahawa pilihan umum baru sahaja diadakan setahun lalu," katanya.

Raus mendengar rayuan Nizar bersama hakim Ahmad Maarop dan Datuk Zainun Ali.

Penghakiman Zainun akan dikeluarkan esok.

Pada 22 Mei, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dibawa oleh Zambry dan memutuskannya adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permintaan Nizar untuk membuat rayuan pada 9 dan 10 Julai ini.

Tiada ulasan: