Memaparkan catatan dengan label MUKTAMAR PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MUKTAMAR PAS. Papar semua catatan

Ahad, 23 Jun 2019

Ustaz Abu Syafiq Pengasas ASWAJA pertubuhan berdaftar Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia mengesahkan bersama PAS


Ustaz Abu Syafiq Pengasas ASWAJA pertubuhan berdaftar Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia bersama TG DS Hadi Awang Presiden Parti Islam Se-Malaysai PAS hari ini Jumaat bertemu dalam Muktamar PAS 65 di Kuantan Pahang.

Semoga PAS terus memperjuangkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak ajaran Wahhabi, Liberal, Syiah dan Komunis.

ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT


Bimbang PAS ditendang lagi, perwakilan minta Umno bertaubat

DENYUT REFORMASI

 
 
KUANTAN, — “Taawun” atau tolong-menolong dalam perkara yang baik, antara PAS dan Umno menjadi fokus pada Muktamar Dewan Ulama PAS ke-58 apabila para perwakilan negeri menggesa kepimpinan parti itu berhati-hati dan berwaspada dengan kerjasama itu.

Pada muktamar yang berlangsung di Wisma Belia di sini, perwakilan Terengganu Jamaluddin Jusoh berpendapat PAS perlu memastikan Umno ikhlas dalam perjuangan dan bukannya mendampingi parti itu kerana terdesak.

“Kami tidak mahu, sekiranya kita mencapai kemenangan kelak, kami akan ditendang kembali seperti dahulu,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Ulama PAS.

Wakil Kelantan Ishak Hassan mahu kepimpinan mengambil iktibar terhadap apa yang telah dilakukan Barisan Nasional (BN) dan Umno di Kelantan termasuk tidak menyalurkan peruntukan serta royalti minyak.

“Kita mesti minta Umno bertaubat untuk tidak lagi menekan PAS seperti dahulu, ajak Umno pusing satu Malaysia dan kata dia (Umno) bertaubat,” katanya.

Perwakilan Pulau Pinang Mohd Zakaria Hamzah juga menyatakan PAS perlu berwaspada dalam taawun itu serta mengambil langkah mengetuai kerjasama itu supaya tidak diambil kesempatan oleh anggota Umno.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed ketika berucap pada muktamar tahunan Dewan Ulama pada sebelah pagi menyentuh isu taawun parti itu bersama Umno.

Sementara itu, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh yang diumum Ketua Dewan Ulama PAS yang baharu selepas menang tanpa bertanding menggantikan Mahfodz, ketika menggulung perbahasan menyifatkan suara perwakilan yang meminta berwaspada dalam taawun itu adalah kerana sayangkan parti.

Sementara itu, Dewan Ulama PAS meluluskan sebulat suara usul antaranya untuk diwujudkan satu garis panduan terperinci berkaitan taawun bagi dijadikan rujukan seragam untuk dilaksanakan di semua peringkat parti.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Khairil Nizam Khiruddin diumum menang tanpa bertanding untuk mengetuai sayap itu bagi sesi 2019-2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Dr Mohd Fuad Mohd Salleh mengumumkan Khairil Nizam menggantikan Muhammad Khalil Abdul Hadi yang tidak mempertahankan jawatan selepas mengetuainya sejak 2017. — Bernama 
 
 

Umno perlu berlapang dada, beri PAS jadi ketua pembangkang

DENYUT REFORMASI




KUANTAN, — Perwakilan PAS Terengganu meminta Umno supaya berjiwa besar dan berlapang dada untuk memberi ruang kepada PAS mengetuai kerjasama politik parti pembangkang.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong berkata amat penting bagi PAS memimpin kerjasama itu berdasarkan pengalaman pahit yang dilalui parti berkenaan termasuk ‘diceraikan tanpa talak’ oleh parti Perikatan sebelum ini.

“PAS mesti memimpin dan bukan dipimpin,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini,semalam

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan menuntut untuk mengetuai kerjasama politik dengan UMNO melainkan terdapat desakan daripada akar umbi.

Sulaiman berkata PAS komited dan konsisten dalam agenda Islam dan penyatuan ummah yang turut menjadi faktor untuk parti itu mengetuai kerjasama politik berkenaan.

Dalam pada itu, wakil Kelantan yang juga Anggota Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi membayangkan parti pembangkang tidak akan mampu menguasai Putrajaya sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya menunaikan janji-janji manifesto, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Beliau berkata pembangkang kini sering membangkitkan isu manifesto yang tidak tertunai dan berasa selesa bahawa kerajaan PH tidak akan bertahan lama.

“Apa kata kalau mereka selesaikan masalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, tol, kenaikan harga barang, kemudian mereka isytihar PRU, maka kita akan terperangkap dalam suasana tidak bersedia,” katanya sambil meminta anggota PAS untuk bekerja keras mendapatkan sokongan rakyat. — Bernama 

Lemang PAS Cameron Highlands terjual RM4,000



   
MUKTAMAR PAS | Selain mengedarkan tabung derma jihad PAS juga ada cara tersendiri untuk mengumpul dana yang jauh lebih menarik.

Petang ini, bermodalkan sebatang lemang 'gergasi', PAS berjaya membuat kutipan sebanyak RM4,000 untuk disalurkan kepada cawangan parti itu yang bercadang membina markas mereka di Pos Lanai, Cameron Highlands.

Lelongan itu diadakan selepas tamat sesi perbahasan ucapan dasar presiden dan sebelum pembentangan usul-usul di Stadium Tertutup Sukpa, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Timbalan Pengerusi Tetap Kamal Ashaari yang mengendalikan acara itu membuka bidaan pada harga RM200.

Pada satu ketika Muslimat PAS hampir berjaya menjadi pembida tertinggi apabila mereka menyatakan kesanggupan membayar lemang tersebut pada harga RM3,000.

Bagaimanapun lemang sepanjang 6 kaki 3 inci itu menjadi milik PAS Kuala Nerus yang menawarkan harga RM1,000 lebih mahal berbanding Muslimat PAS.

Untuk rekod kawasan Kuala Nerus adalah salah satu kerusi yang masih dikuasa PAS di Dewan Rakyat melalui wakilnya Dr Khairuddin Aman Razali, yang sebelum ini dilantik sebagai bendahari Ulama PAS Pusat.

Ketika wakil Kuala Nerus, Sukrimun Shamsudin, naik ke pentas dia mendapat kejutan apabila menerima satu lagi lemang gergasi sebagai hadiah percuma bersama lemang bidaannya.
Upacara penyerahan lemang itu disempurnakan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Jalan tengok belakang,” seloroh Kamal apabila Yang Dipertua PAS Kuala Nerus itu berjalan turun dari pentas sambil memikul lemang panjang di bahunya kerana bimbang buluh itu akan terkena mana-mana kepala pemimpin PAS di situ.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS Cameron Highlands, Wan Mahadir Wan Mahmud, berkata dana yang diperolehi daripada lelongan tersebut akan digunakan bagi menyiapkan markas, selain membiayai aktiviti mereka di Pos Lanai.
PAS Cawangan Pos Lanai baru saja ditubuhkan semalam dan dirasmikan oleh Abdul Hadi sendiri.

"Ia adalah lemang yang asli 100 peratus dan dibakar selama lebih 10 jam di sini dan baru saja siap pagi tadi," katanya.

Menurut Wan Mahadir lemang itu dimasak bersama 2.5kg beras pulut.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.


Bekas Adun: 'Tak kena' mesyuarat PAS dirasmi Umno




   

MUKTAMAR PAS | Nampaknya di sebalik arahan walak dan janji untuk mentaati arahan pimpinan, kerjasama PAS dengan Umno masih belum mendapat lorongan yang luas.

Bercakap semasa membahaskan usul mengenai usul memeterai taawun dan tahaluf siyasi dengan Umno, bekas Adun Bangi, Mohd Shafie Ngah berkata persefahaman yang akan dimeterai perlu dibuat dengan teliti.

Katanya garis panduan yang jelas diperlukan agar anggota di peringkat akar umbi patuhi dan memudahkan gerak kerja namun perlu ada aspek yang harus diambil kira.

"Jangan sampai orang masuk rumah tangga kita, atau kita masuk rumah tangga orang, kerana sudah berlaku (di) cawangan-cawangan, mesyuarat agung dirasmikan oleh orang parti lain," katanya.

Setakat ini, kata Mohd Shafie, pihak yang membuat jemputan ialah daripada Umno dan pemimpin PAS yang merasmikan mesyuarat agung mereka.

Keadaan itu, katanya, boleh dianggap sebagai "OK".

"Tapi besok kalau tak ada garis panduan, atau cawangan PAS bermesyuarat, pimpinan Umno yang merasmikan, bagi saya tidak kena sesama kali," katanya.

PAS dan Umno kini sedang menggiatkan usaha memeterai kerjasama di antara parti pembangkang terbabit sebagai persediaan menghadapi PH sebagai kerajaan.




Kedua-dua parti adalah musuh tradisi selama berpuluh tahun sehinggalah Umno - yang menjadi parti utama dalam BN - ditumbangkan dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Daripada kerjasama yang tidak ketara, pemimpin Umno dan PAS berhubung secara terbuka dan dipercayai dalam peringkat akhir untuk memeterainya secara rasmi tidak lama lagi.

Bagaimanapun sesetengah pihak berpendapat usaha itu mungkin berdepan bantahan anggota kedua-dua parti, terutama di peringkat akar umbi ekoran mereka mempunyai sejarah perseteruan yang panjang.

Pemimpin PAS - terutama peringkat tertinggi - berkali-kali menegaskan pentingnya semua anggota parti memberi kepercayaan kepada mereka dan mentaati keputusan yang dibuat demi kepentingan Melayu dan Islam.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.


Isnin, 17 September 2018

Muktamar PAS: Yang lebih, yang kurang dan yang kekal

 
   
PULASAN | Jika kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen hari ini, ada satu perkara yang sangat pasti.

PAS akan bersiap sedia sepenuhnya untuk menjadi kerajaan Malaysia.

Ada petanda yang agak banyak menunjukkan parti itu terus mendapat kepercayaan daripada orang ramai di sebalik keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Lihat saja bagaimana PAS berjaya menarik berahi Umno untuk bersama-sama menghadiri majlis-majlis yang diadakan di Kuala Terengganu sejak 14 Sept lalu.

Pada hari perasmian muktamar kemeriahannya sangat terasa. Tidak ada langsung kejanggalan dapat dikesan. Presiden Umno dan rombongannya disambut dan diraikan selayaknya.

Mereka seolah-olah berada di salah satu perhimpunan agung sebuah parti gabungan yang sudah terbina berdekad-dekad lamanya.

Tambahan pula wakil MIC pun ada. Kalau ada sedikit kekurangan, ia adalah kerana tiada wakil MCA.

Secara umum ada beberapa perkara yang menarik untuk diakui sepanjang tiga hari pertemuan tahunan PAS itu berlangsung. Berikut adalah sedikit senarai yang dapat ditulis hasil pemerhatian bebas penulis.

Kelebihan:

Budaya Melayu - Satu hal yang cukup ketara ialah, PAS semakin mengakar ke tanah budaya Melayu.

Bermula daripada penampilan 'pendekar-pendekar' yang tangkas, perkasa dan berani sehinggalah bidalan dan perumpamaan yang digunakan semasa ucapan.

Diyakini ada banyak bidalan, perumpamaan dan kiasan yang digunakan ahli, perwakilan dan pemerhati di semua peringkat pada kali ini.

Cuma yang agak ketara tentulah apa yang disebut pemimpin utama PAS. Misalnya anjing dan serigala. Atas sebab yang sukar disahkan, nampaknya bidalan anjing itu menjadi pilihan sesetengah pemimpin PAS.




Masih ingat bagaimana Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan perumpamaan anjing menyalak bukit beberapa tahun lalu?

Turut ditonjolkan ialah gambaran perjuangan PAS mencari kemenangan dengan penantian menjulang kemenangan yang digambarkan dengan begitu indah melalui perumpamaan menanam durian king.

Itu adalah antara kelebihan orang PAS. Cekap benar mereka mencari contoh-contoh yang banal, real dan menusuk ke kalbu bagi memahamkan masyarakat tentang apa yang mahu disampaikan.

Jika mahu ditoleh ke belakang, banyak lagi perumpamaan yang digunakan pemimpin PAS, seperti memikul biawak hidup itu. Namun kali ini rasanya ia sudah dilupakan.

Kemahiran hubungan antarabangsa - Daripada ucapan penggulungan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS semalam orang ramai sekali lagi diberitahu bahawa beliau sebenarnya seorang diplomat yang hebat.

Andai kata PAS berada bersama BN sebelum 9 Mei lalu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sangat layak diangkat menjadi duta Malaysia ke luar negara.

Negara mana - itu langsung tidak berbangkit kerana beliau umpama benih yang baik yang akan menjadi pulau kalau dicampak di mana-mana.

Di Iran beliau mampu, di Aceh beliau berjasa, di Myanmar beliau berbisa. Di Eropah, benua Amerika atau timur - sudah tentu tidak ada sebarang kesukaran besar akan dihadapinya bagi membawa suara keamanan sejagat.

Kekurangan

Kenangan - Apabila mahu disebut tentang kekurangan pada muktamar PAS hujung minggu lalu, sebenarnya hampir tidak ada yang dapat disenaraikan. Semuanya serba molek dan lengkap.

Namun tidak mungkin ada kesempurnaan pada sesuatu yang bernama makhluk.

Satu kelemahan yang ketara ialah, nama Datuk Seri Najib Razak boleh dikatakan terabai sama sekali, sedangkan suatu ketika dulu Abdul Hadi dan pimpinan lain dalam PAS amat mesra dengan bekas perdana menteri itu.

Tidak mungkin PAS melupakan seseorang yang sebaik Najib. Mungkin PAS ada sebab mengapa mereka mengambil pendekatan begitu, namun langsung mengabaikan Najib dirasakan agak kejam.

Tambahan pula Najib baru didakwa di mahkamah dan belum terbukti bersalah. Tidak dapat dipastikan sama ada Najib pernah memberi penjelasan kepada PAS seperti Arul Kanda Kandasamy memberi penerangan tentang 1MDB kepada parti itu.




Namun berdasarkan cara PAS menyantuni Najib sebelum 9 Mei lalu menunjukkan tidak banyak perbezaan sikap PAS kepada Arul Kanda dan 1MDB, dengan sikap parti itu kepada bekas presiden Umno berkenaan.

Untuk menganggap PAS terlupa kepada Najib juga agak sukar. Bukankah Najib sekarang ini lazim benar muncul dengan bersahaja - namun tetap bergaya - di tengah masyarakat biasa?

Sedangkan PAS itu sendiri sentiasa bergelumang dengan rakyat marhaen. Cuma memanglah PAS belum lagi membuat kempen membeli kuih pau atau membandingkan cukai SST dan GST.

Pada masa sama Najib sendiri nampaknya seperti tidak tahu bahawa PAS sedang mengadakan muktamarnya. Hantaran di Facebook beliau nampaknya langsung tidak menyentuh tentang PAS.

Harap-harap itu bukan petanda beliau berkecil hati selepas PAS tidak memberi tempat yang seadilnya di muktamar berkenaan.

Yang kekal

Di antara banyak kelebihan dan sedikit kekurangan, tentu ada yang tidak berubah pada muktamar tersebut. Apakah yang kekal itu?

Semengat berkobar-kobar - Dalam isu semangat, PAS tidak pernah berkurangan. Dengarlah ucapan dan kata-kata biasa anggota, penyokong dan pemimpin parti itu. Tidak dapat dikesan langsung rasa kecewa, sedih, merajuk atau seumpamanya.

Semuanya ialah tentang semangat dan harapan. Semuanya mengenai kemenangan yang amat hampir.
PAS tidak pernah kalah, cuma PAS belum menang.

Sebab itu kalau diadakan PRU ke-15 hari ini, PAS (rasa) akan menang dan memerintah Malaysia.
Sayangnya tiada bidalan yang paling tepat untuk menggambarkan betapa dekatnya kemenangan PAS itu.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Ahad, 16 September 2018

Pemuda Pas tuntut lebih ramai calon muda bertanding PRU15

Mohd Zaini Samsu Hadi
Akram Akrimin Taib Azzamuden
Akram Akrimin Taib Azzamuden

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menuntut pimpinan parti itu meletakkan lebih ramai calon muda untuk diletakkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Wakil Dewan Pemuda Pas Malaysia, Akram Akrimin Taib Azzamuden berkata, Pas tidak menunaikan janji pada PRU lali apabila tidak meletakan 45 peratus kerusi kepada calon muda seperti yang dijanjikan pada Muktamar ke-63 pada tahun lepas.

“Memandangkan 47 peratus pengundi pada PRU lalu ialah golongan muda, dan sekiranya umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun, ia (sokongan) pasti lebih besar.

“Oleh itu Pemuda mahukan kerusi yang lebih banyak bagi membantu Pas menentang lawan politik dalam PRU ke 15,” katanya ketika menyokong Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-64, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, Akram turut mengingatkan parti yang mendokong perjuangan Islam itu agar tidak terperangkap dengan sentimen Melayu sahaja.

Ini kerana, katanya, kaum-kaum lain seperti Cina, India dan banyak lagi akan merasa tertindas dan akan mula mencari perlindungan daripada pihak lain.

“Dalam era masing-masing menuntut hak, Cina menuntut hak mereka, India mahukan hak mereka, LGBT menuntut hak mereka, masing-masing menuntut hak.

“Oleh itu Pas diingatkan agar tidak terperangkap dengan sentimen Melayu semata-mata,” tegas beliau. – MalaysiaGazette


Perwakilan usul PAS tubuh jabatan hal ehwal bukan Islam

 


MUKTAMAR | PAS patut menubuhkan jabatan hal ehwal bukan Islam dalam parti itu supaya dapat mengukuhkan usahanya mendapatkan sokongan kumpulan sasaran berkenaan.

Wakil Kelantan ke Muktamar PAS ke-64, Hassan Mohamood berkata PAS perlu menaik taraf Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) supaya bukan Islam akan dapat lebih memahami Islam melalui programnya.

DHPP merupakan sayap PAS bagi menarik sokongan bukan Islam yang dibenarkan menjadi ahli bersekutu parti itu. DHPP berperanan menyebarkan maklumat mengenai PAS dan Islam kepad abukan Islam di dalam negara.

"Orang bukan Islam, macam Cikgu Rashid, hasil dari membangun bersama Islam. Tak masuk Islam tak apa. Tiada paksaan dalam Islam.

"Sebab itu saya mencadangkan DHPP mesti diperkasa. Kita mesti tubuh jabatan hal ehwal bukan Islam," katanya dalam ucapan perbahasan pada muktamar yang diadakan di stadium tertutup di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Hassan merujuk kepada Laun Chin Chua, pemimpin DHPP yang dikenali sebagai Cikgu Rashid di kalangan anggota PAS, terutamanya dari Kelantan.

Lau merupakan penyokong tegar PAS dan perjuangan Islamnya.

Hassan juga berkata jabatan baru itu perlu menjalankan program melibatkan bukan Islam.

Menurutnya lagi, hal ini mungkin akan mengembalikan sokongan pengundi bukan Islam bagi membawa kemenangan kepada PAS pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

LIHAT VIDEO DI SINI


PAS digesa santuni remaja sempena penurunan umur mengundi

MALAYSIAKINI


   
MUKTAMAR | Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi hari ini mencadangkan parti itu menyantuni golongan belia dan remaja bagi persediaan penurunan had minimum umur layak mengundi.

Khalil berkata kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berhasrat untuk melakukan pembaharuan pilihan raya, namun tidak menyatakan sama ada PAS menyokong pindaan perlembagaan yang diperlukan bagi tujuan itu.

"Umur mengundi hari ini akan diturunkan (daripada 21) kepada 18. Ini akan menjadi cabaran kepada kita untuk menyantuni golongan remaja dan belia," katanya kepada perwakilan Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu hari ini.

Khalil, yang merupakan anak kepada Presiden PAS Datuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menggesa jabatan yang berkaitan dengan remaja dalam parti itu untuk menumpukan kepada golongan berkenaan.

"Alhamdulillah, dalam Dewan Pemuda PAS kita jabatan remaja dan kita mahu semua menumpukan kepada golongan remaja dan belia, dekati mereka hari ini untuk kita bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15," katanya.

Sekiranya umur minimum kelayakan mengundi diturunkan kepada 18, PRU ke-15 pada 2023 akan menyaksikan golongan yang ketika ini berumur 13 tahun layak mengundi ketika itu.


PAS beri mandat Majlis Syura Ulama tentukan kerjasama politik

 
   
MUKTAMAR | Muktamar PAS hari ini sebulat suara meluluskan usul untuk memberi mandat kepada Majlis Syura Ulama membuat keputusan berhubung kerjasama politik baru.

Meskipun usul berkenaan tidak menyebut Umno secara langsung, ia mengulangi seruan beberapa pemimpin PAS dalam ucapan mereka sebelum itu yang menggambarkan hasrat untuk sebuah kerjasama yang menjaga kepentingan Islam.

Usul berkenaan mencadangkan untuk memberi kuasa kepada Majlis Syura Ulama PAS dan kepimpinan pusat memuktamadkan keputusan berhubung langkah yang akan diambil parti itu dalam gerakan pembangkang.

Perwakilan Kota Raja Mohamad Diah Baharom yang mencadangkan usul itu berkata PAS juga digesa untuk tidak mengenepikan kerjasama sedia ada dalam Gagasan Sejahtera bersama Ikatan dan Berjasa sekiranya memutuskan mahu bekerjasama dengan parti lain.

Perwakilan lain, Mustaman Mustain yang menyokong usul berkenaan menggesa pemimpin tertinggi PAS untuk mempertimbangkan situasi politik di Sabah.

The Sandakan Pas information chief told the muktamar that the state party was left alone when other opposition parties in Sabah, including Umno, formed a coalition against the state government led by Warisan.

Ketua Penerangan PAS Sandakan itu berkata parti mereka kini bersendiri di Sabah selepas parti pembangkang lain di negeri itu termasuk Umno menubuhkan pakatan lain bagi berdepan kerajaan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Jumaat, 14 September 2018

'HARAPAN lebih dahsyat dari Umno'

 
   

MUKTAMAR | Tidak sampai lima bulan usia kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), PAS mendapati pentabdiran di Putrajaya itu jauh lebih buruk berbanding zaman Umno memerintah.

Menurut Datuk Seri Abdul Hadi Awang banyak kelemahan disaksikan berlaku di bawah kerajaan HARAPAN sekarang.

Antara kebejatan dilakukan Putrajaya, menurut Abdul Hadi, melibatkan kes-kes mahkamah.

Katanya semasa Malaysia di bawah kuasa BN ada juga menteri-menteri besar yang dibawa ke mahkamah dan dibicarakan atas tuduhan rasuah.

Malah kata presiden PAS itu ada antara mereka yang disabitkan kesalahan dan dihukum penjara.

"HARAPAN memerintah baru berapa bulan, bawa kes (pemimpin mereka) ke mahkamah, diselesaikan begitu saja.

"Baru memerintah empat bulan sudah ada masalah, apatah lagi kalau 60 tahun," katanya kepada media selepas merasmikan konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di Kuala Terengganu hari ini.

Abdul Hadi menjelaskan kelemahan HARAPAN itu berlaku ketika Islam sudah mengajar supaya berlaku adil kepada semua orang tanpa mengira bangsa atau agama.

"Jadi ini (kerajaan HARAPAN) lebih teruk daripada Umno lagi, lebih dahsyat... ini yang kita alami," katanya.

Untuk rekod sebelum menjadi kerajaan pusat, beberapa pemimpin HARAPAN didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan, termasuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim - kini menteri kewangan - dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang baru-baru ini selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik tuduhan mereka.

LIHAT VIDEO DI SINI


Pas tegur aspek kerohanian dipinggir

Pas tegur aspek kerohanian dipinggir
Muhammad Hanif Jamaludin
 
 
KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas melahirkan kebimbangan terhadap masa depan anak bangsa yang terlalu mementingkan pendidikan dan meminggirkan kerohanian.

Perwakilan Selangor, Muhammad Hanif Jamaludin berkata pencapaian anak bangsa hari ini diukur hanya melalui tahap pencapaian dalam akademik.

“Kejayaan pelajar pada hari ini hanya dalam pendidikan tanpa memberi tumpuan kepada kerohanian.

“Yang penting mereka berjaya dalam akademik, rohani tak apa. Yang penting dapat ‘straight’ A, tak sembahyang pun tak apa. Yang penting mereka berjaya dalam akademik, tak berjaya dalam agama tak apa.

“Bayangkan kalau ini yang berlaku. Pelantikan aktivits G25 dalam Majlis Pendidikan Kebangsaan (MPPK), ini sesuatu yang sangat membimbangkan,” katanya ketika membahaskan Ucaptama Ketua Pemuda Pas pada sidang muktamar ke-59 sayap itu, hari ini.

Sebelum ini, pelantikan aktivis G25, Datin Noor Azimah Abdul Rahim ke dalam MPPK dikritik banyak pihak termasuk Pas.

Noor Azimah sebelum ini pernah mengeluarkan pandangan kontroversi apabila membantah dan mempersoalkan tindakan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan yang mewajibkan pelajar-pelajar Islam menunaikan solat sebelum pulang ke rumah.

Mengulas lanjut, Muhammad Hanif berkata MPPK merupakan majlis yang sangat tinggi dalam pendidikan kerana memberi nasihat berhubung pendidikan di negara ini.

“Pelantikan MPPK yang memberikan nasihat berhubung strategi pendidikan. Apa yang kita bimbangkan, satu-satunya majlis yang sangat tinggi ini dalam pendidikan dihuni oleh golongan yang sangat aktif dalam G25, Datin Azimah.

Tetapi apa yang dibuat orang dilantik ini? Melarang solat berjemaah itu. Seperti yang kita sedia tahu kumpulan G25 ini lantang dalam beri idea berbentuk liberal. Antaranya ada yang mencadangkan hapuskan kuasa raja-raja, hapuskan hukum-hukum berkaitan ALLAH, lantang menentang undang-undang syariah di Terengganu,” katanya.

Tambahnya, “bayangkan, kalau beginilah dalam sistem pendidikan, bagaimana anak-anak?”

Pemuda PAS yakin PM kurang senang prestasi Maszlee



MUKTAMAR PAS | Jika baru-baru ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan beliau kurang berpuas hati dengan prestasi barisan kabinet pentadbirannya, PAS pula dapat menghidu menteri yang dimaksudkan itu.

Perkara itu dinyatakan oleh Perwakilan Pemuda PAS Kelantan, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim yang yakin kenyataan Dr Mahathir itu ditujukan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

"Kita mahu menyatakan kedukacitaan terhadap menteri pendidikan. Mungkin kenyataan perdana menteri yang berasa kurang senang dengan (tahap) kerja kuat dan prestasi menteri-menteri.

"Saya yakin kenyataan itu ditujukan kepada menteri pendidikan," katanya ketika sesi perbahasan ucaptama ketua pemuda PAS di Muktamar Dewan Pemuda ke-59 di Kuala Terengganu, hari ini.

Abdul Malik berkata demikian sebagai mengulas beberapa isu membabitkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

IPG Kota Bharu

Katanya, walaupun kerajaan persekutuan bertukar isu yang diperjuangkan oleh warga pendidik khususnya tidak diberi perhatian oleh menteri berkenaan.

"Kelantan mengambil kesempatan untuk menyuarakan isu besar yang diperjuangkan oleh warga pendidik iaitu melibatkan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu yang ditukar fungsi kepada kolej profesional oleh kerajaan terdahulu.

"Sedangkan IPG Kota Bharu merupakan IPG kedua terbesar dan tertua dalam negara. Walaupun bertukar kerajaan, isu ini belum diselesaikan walaupun suara-suara warga pendidik yang mahukan IPG Kota Bharu tidak ditukar fungsi," jelasnya.

Tambah beliau, begitu juga dalam isu pelantikan Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan apabila anggota kumpulan G25 dilantik sebagai salah seorang anggota.

"Begitu juga dengan isu pelantikan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menteri pendidikan sepatutnya mendengar rintihan dan keluhan daripada masyarakat," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI


Ahad, 9 September 2018

Kerjasama PAS-Umno topik perbincangan muktamar, kata Halimah Ali


Dr Halimah Ali. (Gambar Bernama)


Nor Athirah Mohd Hanapiah


SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Halimah Ali berkata hala tuju kerjasama partinya bersama Umno akan ditentukan di mesyuarat agung di Terengganu minggu depan.

Beliau memberitahu pemberita pada sidang media pasca PRK DUN Seri Setia di TTDI Jaya hari ini bahawa kerjasama antara 2 parti itu akan menjadi topik perbincangan di muktamar nanti.

Terdahulu Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan akan menghadiri Muktamar Tahunan PAS yang diadakan pada 14 hingga 16 September ini sebagai tanda sokongan.

Zahid dilaporkan akan ke Kuala Terengganu bersama ahli jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno selepas menerima undangan rasmi daripada PAS.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri beberapa hari lalu berkata delegasi berharap kehadiran mereka akan datang mengukuhkan kerjasama antara mereka, dan partinya sedia menerima delegasi PAS ke Perhimpunan Agung Umno 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hujung bulan ini.

Beliau berkata soal hubungan antara parti dan hala tuju kerjasama itu akan dibincangkan dalam himpunan Umno nanti.

LIHAT VIDEO DI SINI

Isnin, 1 Mei 2017

Mohd Amar, Iskandar Samad, Idris Ahmad kekal Naib Presiden PAS

Oleh Shuhaniza Said, Ainor Rahim, Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Tiga penyandang Naib Presiden PAS iaitu Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad mengekalkan gandingan mereka untuk penggal 2017-2019.
 
Mereka menyingkirkan Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan yang bertanding untuk kali pertama dalam saingan jawatan nombor tiga parti berteraskan Islam itu.
 
Idris mendapat 1,062 undi, Mohd Amar pula sebanyak 950 undi, Iskandar pula dengan 703 undi manakala Nasrudin hanya peroleh 478 undi.
 
Keputusan pemilihan PAS diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Mutalib Embong, sebentar tadi. 
 
"Idris Ahmad mendapat 1,062 undi, Datuk Mohd Amar Abdullah mendapat 950 undi, Datuk Iskandar Abdul Samad mendapat 703 undi dan Nasruddin Hassan mendapat 478 undi.
 
"Dengan ini jawatan Naib Presiden disandang oleh Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad," katanya ketika mengumumkan keputusan itu.
 
Sementara itu bekas Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz mengekalkan kerusi sebagai salah seorang daripada 18 kerusi bagi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
 
Pemilihan jawatankuasa bagi penggal ini begitu berbeza berbanding pemilihan penggal lalu, di mana suasana pada kali ini dilihat lebih harmoni ekoran tiada pertembungan antara golongan ulama dan profesional sebagaimana sebelum ini.
 
Perwakilan memilih untuk mengekalkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden, dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden. 
 
Kedua-duanya diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas tidak dicabar mana-mana individu, sekali gus memberi isyarat bahawa ahli parti itu meyakini gandingan Hadi-Tuan Ibrahim menerajui parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Berikut senarai penuh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi 2017-2019:-
 
Pengerusi Tetap: Hussin Ismail (MTB)
 
Timbalan Pengerusi Tetap: Kamal Shaari (MTB)
 
Presiden: Datuk Seri Abdul Hadi Awang (MTB)
 
Timbalan Presiden: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (MTB)
 
Naib presiden (3):
1. Idris Ahmad (1,062)
2. Datuk Mohd Amar Abdullah (950)
3. Datuk Iskandar Abdul Samad (703)
4. Nasruddin Hassan (478)
 
Pemeriksa kira-kira:
1. Najib Mat 
2. Mat Syukor Abd Aziz 
 
Ahli jawatankuasa kerja (18):
1. Nik Mohd Abduh Nik Abdul Azi (1,005)
2. Datuk Dr Mohd Fadzli Hassan (1,001)
3. Dr Riduan Mohd Noor (970)
4. Datuk Mohd Nassuruddin Daud (970)
5. Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (932)
6. Dr Najihatussolehah Ahmad (887)
 
7. Dr Mohd Zuhdi Marzuki (878)
8. Dr Halimah Ali (872)
9. Sallehen Mukhyi (848)
10. Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi (797)
11. Dr Rosni Adam (752)
12. Razman Zakaria (730)
 
13. Dr Azman Ibrahim (730)
14. Mokhtar Senik (724)
15. Kamaruzzaman Mohamad (715)
16. Abdullah Hussin (666)
17. Misbahul Munir Masduki (639)
18. Ir Muhtar Suhaili (618)
 
 

PAS lulus usul hanya orang Islam jadi perdana menteri

ANTARAPOS.COM
Post Pic


ALOR STAR: PAS hari ini mengemukakan usul bagi meminda Perlembagaan agar perdana menteri yang dilantik perlu beragama Islam.

Usul yang dicadang Dewan Ulama itu kerana perdana menteri mempunyai tanggungjawab mendaulatkan Islam dan ia diluluskan sebulat suara dalam muktamar hari ini.

“Dewan Ulama mencadangkan pemimpin PAS Pusat melalui ahli Parlimen PAS menggesa perdana menteri meminda Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan perdana menteri hanya terdiri daripada orang Islam yang memenuhi syarat-syarat Islam,” menurut usul itu.

Sesi akhir Muktamar Tahunan PAS ke-63 bermula

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Setelah berlangsung selama tiga hari, Muktamar Tahunan Pas ke-63 kini berada di penghujungnya.
 
Aturcara hari terakhir muktamar ini dijadualkan bermula dengan ucapan penggulungan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diikuti dengan pengumuman keputusan pengundian jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
 
Sidang akhir berkenaan dimulakan dengan bacaan doa oleh Pengerusi Tetap, Hussin Ismail.
 
Dalam ucapan pembukaannya, Hussin mengingat para perwakilan tentang cabaran politik semasa yang dihadapi oleh parti.
 
Turut diadakan pada pembukaaan sesi terakhir ini ialah perasmian program wakaf komersial yang disempurnakan oleh Abdul Hadi.
 
Sesi penggulungan dimulakan oleh Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali yang menjelaskan kepada perwakilan mengenai program wakaf komersil yang baru dilancarkan itu. 
 
 

Ahad, 30 April 2017

Usul putus tahaluf siyasi Pas-PKR diterima tanpa bahas

Mohd Haizal Yatiran
Perwakilan dari Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Zulkifli Ismail bercakap pada sesi perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL,


ALOR SETAR- Seperti dijangka, Muktamar Pas hari ini menerima usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan sekutunya, PKR.

Disambut dengan laungan takbir, usul yang dibentangkan oleh perwakilan dewan ulama Pas itu disokong sebulat suara tanpa bahas.

Wakil Dewan Ulama, Zulkifli Ismail berkata, usul tersebut dibuat memandangkan PKR dikatakan telah menghinati perjanjian kerjasama antara kedua-dua parti itu sebelum ini.

“Penilaian tahaluf mestilah dibuat oleh Majlis Syura Ulama. Kini terdapat banyak pelanggaran syarat berlaku sepanjang tempoh berlangsungnya tahaluf siyasi.

“Penglibatan PKR menyokong calon Amanah dan menentang PAS dalam dua pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kegagalan PKR untuk memberi sokongan yang baik kepada usaha Pas memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355.

“Kenyataan-kenyataan pimpinan PKR secara terbuka yang jelas memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap Pas sekaligus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan, maka kami mengusulkan supaya tahaluf siyasi antara Pas dan PKR diputuskan,” katanya lagi.

Usul tersebut akan diangkat ke Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.-MalaysiaGazette

Usah terhegeh-hegeh jika tak mahu ditendang


Jangan terhegeh-hegeh di depan pintu gol, atau PAS akan bertindak 'menendang' sesiapa yang mengganggu mereka membuat jaringan - itu analogi diberi seorang perwakilan hari ini.

Perwakilan Kelantan, Abdullah Yaakob, berkata matlamat parti itu ketika ini tetap melawan Umno namun ia akan terganggu jika ada mana-mana pihak berada di antara kedua-dua parti tersebut.

"Kita (PAS) nak tendang bola ke gol. Tapi kalau kamu terhegeh-hegeh ada depan gol semasa kami nak tendang bola, macam mana?

"Kami kena tendang kamu dulu baru kami tendang bola tu ke gol.

"Kita lawan Umno tapi kamu jangan terhegeh-hegeh di depan gol," katanya secara berkias semasa membahas ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada satu lagi parti pembangkang, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang menyatakan secara jelas mahu merampas Kelantan daripada PAS.

Kempen itu diketuai beberapa bekas pemimpin kanan PAS, termasuk Datuk Husam Musa yang pernah
menjadi naib presiden parti itu, serta Datuk Wan Rahim Wan Abdullah yang pernah menjadi speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Sementara itu Abdullah berkata PAS ketika ini bermusuh dengan DAP saja dan bukannya dengan seluruh orang Cina, India atau lain-lain.

"Kita bermusuh dengan DAP. Dengan kaum Cina, India, orang asli kita tidak bermusuh," katanya.

Abdullah berkata amalan itu terbukti di Kelantan apabila kerajaan tetap menjaga kepentingan orang bukan Melayu dan bukan Islam walaupun peratusan mereka kecil di negeri berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan negeri memberi bantuan kewangan kepada golongan usia emas atau sumbangan lain kepada sesiapa saja yang dirasakan berhak tanpa mengira agama atau kaum.

Menurut Abdullah yang juga speker DUN Kelantan ketika ini, penyokong PAS di kalangan orang bukan Islam perlu menyebarkan kefahaman berkenaan dengan lebih meluas.

"Tiada sebab untuk orang bukan Islam takut kepada PAS," katanya.


Tak Perlu Tunggu, PKR Telah Lakukan 1001 Pengkhianatan Terhadap PAS





PKR tidak perlu menunggu keputusan akhir Muktamar PAS kerana parti itu telah melakukan 1001 pengkhianatan terhadap PAS kata Setiausaha Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat, Huzir Sulaiman.


“Tak payah tunggu la wahai DS Wan Azizah Wan Ismail, walaupun PAS tak putuskan apa pun sebelum ini, PKR dah ambik 1001 tindakan untuk mengkhianati kerjasama politik yang sudah terjalin dengan PAS,”katanya dalam Facebook.

Aktivis PAS itu merujuk kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang berkata partinya masih menunggu keputusan muktamad PAS untuk tahaluf siyasi dengan parti itu sebelum memutuskan sebarang tindakan.

Dalam kenyataan itu Wan Azizah berkata, pihaknya sedia maklum Dewan Ulama telah bersepakat membuat keputusan itu, namun ia masih belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas.

“Kita lihat dahulu apa keputusan Majlis Syura. Adakah keputusan ini akan memberi kesan terhadap PKR, PAS di Selangor.

“Dari segi kerja, tiada masalah. Cuma dari segi polisi perlu tunggu keputusan muktamar,” katanya.

Pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Ke-56 di dewan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di Alor Setar semalam, Muktamar Dewan Ulama PAS bersetuju untuk mengusulkan agar tahaluf siyasi antara Pas dan PKR diputuskan.

Usul itu kemudian mendapat persetujuan sebulat suara perwakilan namun ia tertakluk pada keputusan Majlis Syura Ulama menurut peruntukan Perlembagaan PAS.