Selasa, 30 Jun 2009

Pecat ahli PKR di MPSP 'terlalu keras'

MALAYSIA KINI


Beberapa ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menganggap pelucutan jawatan wakil PKR Johari Kassim daripada majlis itu sebagai tindakan yang terlalu keras.

Seorang anggota MPSP daripada parti itu Mohd Kamil Abu Bakar berkata sebagai amaran, kerajaan Pulau Pinang boleh menggantung perkhidmatan Johari susulan tindakannya mengetuai usaha memulaukan majlis pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd
Jait awal bulan ini.

"Tindakan ini (pelucutan jawatan) terlalu keras, sepatutnya digantung dahulu (tugas Johari)," Bernama memetiknya berkata selepas menghadiri mesyuarat MPSP hari ini.

Mohd Kamil termasuk dalam kumpulan ahli majlis daripada PKR yang memulaukan upacara pelantikan Mokhtar pada 4 Jun lepas sebagai membantah tindakan kerajaan negeri yang didakwa tidak berunding dengan parti itu sebelum pelantikan tersebut.

Kerajaan negeri sebelumnya mengumumkan pelucutan jawatan Johari, sebagai ahli majlis, berkuatkuasa Jumaat lepas.

Mohd Kamil dilaporkan berkata beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi peluang kedua kepada Johari.

"Kami sudah jumpa pucuk pimpinan parti (PKR) dan berharap mereka dapat berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini," Johari dipetik berkata.

Seorang ahli MPSP yang mewakili PAS Mohd Fadzil Kemi turut bersetuju Johari diberi peluang kedua memandangkan prestasi baiknya sebagai ketua whip majlis itu.

"Patut Johari diberi amaran dulu. Beliau menjalankan tugas dengan baik selama ini. Tindakan Johari memboikot majlis angkat sumpah itu disebabkan berlaku salah faham bukan sebab kedegilannya," katanya.

Sementara itu Mokhtar pula berkata calon bagi menggantikan Johari akan ditentukan oleh kerajaan negeri tidak lama lagi.

Tiada ulasan: