Isnin, 29 Jun 2009

Bantu Pakatan Rakyat, PAS Akan Bertemu Blogger

PEMUDA SARAWAK


PULAU PINANG - PAS Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan semua blogger yang pro Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini tidak lagi untuk menyampaikan misi terbaru sesuai dengan perkembangan hari ini.

Ketua Penerangan PAS Negeri, Zulkiply Ishak berkata, pertemuan itu membawa banyak erti kepada PAS kerana peranan blogger tidak dinafikan membantu mengembangkan pengaruh Pakatan Rakyat dalam masa yang singkat.

“Melalui pertemuan itu nanti kita akan menerangkan misi dan visi terbaru PAS Negeri bagi diketengahkan dalam blog mereka. Kita juga berharap rakyat akan menerima corak dan persembahan PAS selari dengan perkembangan masa kini,” ujarnya.

Beliau yang juga bekas Setiausaha PAS Kawasan Kepala Batas menambah, apa pun tempat dan waktu akan diberitahu kelak kerana buat masa ini Penerangan PAS Negeri sedang merancang mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Lajnah Penerangan PAS seluruh negeri untuk memperjelaskan misi dan visi terbaru itu.

Beliau berharap semua blogger di Pulau Pinang dapat bekerjasama dengan PAS untuk membuktikan PAS sebenarnya boleh merealisasikan perjuangan di negeri ini hasil kemenangan bersama parti gabungan Pakatan Rakyat.

Menyedari hakikat itulah sambungnya, PAS memerlukan blogger yang pro Kerajaan Pakatan Rakyat untuk meningkatkan peranan yang selama ini agak malap padahal semua tahu PAS lahir di Pulau Pinang.

“Tempat lahir PAS mestilah kuat bukan macam sekarang tidak menyengat. Oleh itu, satu pembaharuan mesti dilakukan demi perjuangan kita masa depan,” terangnya.

Menurut Zulkiply lagi, selepas ini beliau yakin PAS di Pulau Pinang dapat nafas baru dan beliau juga berharap semua lajnah lain melonjakkan produktivi dan kreativiti supaya perkembangan dan imej PAS dapat dibawa dengan baik.

Tiada ulasan: