Ahad, 28 Jun 2009

18 pelatih pusat serenti lari didakwa

SINAR HARIAN ONLINE


BUTTERWORTH - Seramai 18 pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang melarikan diri dari pusat itu semasa rusuhan 19 Jun lepas di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth semalam, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyertai perhimpunan haram dan melakukan khianat dengan membakar tujuh blok bangunan di situ.

Tertuduh, Sivasangar Batumalai,37, Mohd Zulkifli Hassan,29, Mohd Imanuddin Shamsul Rahman Khan,22,Murugesan Jayaraman,28, Baharuddin Chandili, 34, Zuhaimi Sudin, 38, Khairul Anuar Mahmud, 26, Mohd Hasrul Hassan, 27, Salleh Faisal, 43, Selbin Jalil, 29, Noor Azrin Azman, 31, Mohd Irman Mahad, 26, Mohd Nizam Abu Bakar, 29, Mohd Norhasmi Taib @Hashim, 32, Mohd Sarihan Abd Samad, 28, Abd Rahman Abd Hamid , 26, Mohamad Azizi Abd Rahman, 27, dan Sharian Yahya, 30 dituduh dari ahli kepada satu perhimpunan haram dalam mencapai satu tujuan bersama telah melakukan khianat ke atas Pusat Serenti Kampung Selamat pada 19 Jun lepas kira - kira 6.30 petang.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan melakukan khianat dengan api untuk menyebabkan kebinasaan kepada tujuh blok bangunan iaitu bangunan pentadbiran, bangunan stor, dewan utama, kompleks terapi komuniti, pejabat aktiviti, balai pegawai, bilik pegawai bertugas dan pos polis bantuan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira 6.30 petang, 19 Jun 2009 menurut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 149 Kanun yang sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Ketika pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka, setiap tertuduh memberi kenyataan tidak bersalah dan memohon dibacakan.

Kesemua tertuduh tidak lagi berpakaian pusat serenti kecuali tertuduh yang pertama dan kesemua mereka kelihatan bersahaja ketika prosiding kes.

Selepas tuduhan dibacakan terhadap mereka, wakil tertuduh, Noor Azrin Azman memohon kepada hakim, Julie Jack Abdullah untuk menghantar kesemua mereka ke Penjara Alor Setar, Kedah dengan alasan Penjara Pulau Pinang tidak selesa dan sempit.

“Saya berharap puan dapat menerima permohonan kami kerana ada di antara kami yang menghidap penyakit HIV dan sejenis penyakit kronik lain.

“Kami yang sakit ini tidak dapat duduk di persekitaran yang sempit itu dan ini sahaja permohonan kami kepada mahkamah,” kata Noor Azrin.

Namun, setelah Yusaini memohon penghantaran mereka ke Penjara Alor Setar akan membawa masalah logistik dan pentadbiran, Julie menolak permohonan mereka dan mengarahkan kesemua mereka ke Penjara Pulau Pinang.

Hakim menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Tiada ulasan: