Ahad, 28 Jun 2009

Pemangku Sultan: Beri ruang Manohara-Tengku selesai krisis

MALAYSIA KINI


Pemangku Raja Kelantan berharap krisis rumahtangga adindanya dengan Manohara Odelia Pinot dapat diselesaikan melalui proses undang-undang dengan adil-adilnya.

"Saya berharap juga mereka berdua diberi ruang secukupnya untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri," kata Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad hari ini.

Menurut Bernama, kenyataannya dibuat mengikut titah perintah Tengku Muhammad Faris Petra, yang juga Tengku Mahkota
Kelantan, yang dilantik pemangku ayahandanya yang sedang gering.

Istana Kelantan juga mengulangi penegasannya bahawa isu antara Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra dan Manohara sebagai "isu peribadi mereka berdua".

Abdul Halim turut dipetik berkata isu itu juga tidak sesekali berkaitan
dengan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, pemangku raja Kelantan dan pejabat Sultan Kelantan.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa Sultan Kelantan masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan baginda dalam keadaaan stabil.

Katanya, semua keluarga diraja terdekat berada di republik tersebut.

"Segala aktiviti hiburan di negeri Kelantan khususnya yang berkaitan dengan Pejabat Sultan hendaklah mengambil kira dengan keadaan semasa ini," Abdul Halim dipetik berkata.

Beliau turut meminta semua pihak berdoa agar Sultan Ismail Petra cepat sembuh dan segala masalah yang berkaitan dengan istana selesai dengan sempurna.

Semalam, Tengku Muhammad Fakhry memberi kata dua kepada Manohara agar pulang ke pangkuannya selewat-lewatnya 2 Julai ini atau beliau akan mengambil tindakan lanjut tanpa merujuk isterinya lagi.

Masalah antara pasangan kerabat diraja ini mula muncul di media hujung April lalu apabila ibu Manohara, Daisy Fajarina, mendakwa anaknya didera dan diculik oleh Tengku Muhammad Fakhry.

Isu tersebut hampir reda seketika sehinggalah Manohara sendiri membuat tuduhan seumpama ibunya apabila melarikan diri ke Jakarta, 1 Jun lalu.

Tengku Muhammad Fakhry selama ini menafikan semua dakwaan isterinya dan ibu mertuanya.

Tiada ulasan: