Ahad, 28 Jun 2009

Biasiswa nasional terbuka pada semua

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, pemberian biasiswa kerajaan yang akan dikenali sebagai biasiswa nasional ditawarkan berdasarkan 100 peratus merit tanpa mengira kaum, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Sekiranya pelajar benar-benar layak berdasarkan keputusan terbaik, maka tanpa mengira kaum atau keturunan, mereka akan dapat biasiswa dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kerajaan akan umum pada tahun depan dan kita akan buat pada tahun depan kerana Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan had jumlah subjek bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini adalah hasrat kerajaan untuk mendahulukan kepentingan rakyat dengan mengambil kira pertimbangan rakyat,” katanya berucap pada majlis makan malam anjuran MCA dan persatuan komuniti Cina sempena pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Muhyiddin; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Timbalannya, Datuk Dr Chua Soi Lek dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sementara itu, Najib yakin masyarakat Cina akan terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya keperluan mereka dipertimbangkan dan dipenuhi seperti dalam aspek Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan pengiktirafan kepada empat ijazah dari universiti terkemuka di China.

Tiada ulasan: