Ahad, 28 Jun 2009

PAS Anti Perpecahan dan Perkauman

Wan Kay


KUALA NERUS - Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohammad Zawawi Salleh berkata anti kepada perpecahan serta perkauman yang dibawa oleh pihak-pihak tertentu dalam negara ini.

Bahkan telah sekian lama perpaduan yang menyatukan umat Islam dan kaum-kaum lain dalam negara ini, menjadi agenda dalam PAS.

"Saya nok (hendak) bagi tahu kepada masyarakat umum walau pun perkara ini (Kerajaan Perpaduan) telah ditarik balik tetapi gagasan ke arah menyatukan umat Islam dalam negara ini adalah agenda PAS yang sentiasa kita (PAS) bawa.

"Kita (PAS) memang anti kepada mana-mana perpecahan dan perkauman kerana ini bukan budaya PAS dan bukan cara PAS. Cara PAS adalah untuk menyatukan semua kaum," jelasnya kepada pihak media sebelum menyampaikan ceramah di Ma'ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, dekat sini, kelmarin.

Sehubungan itu beliau menyifatkan pemimpin Umno sebenarnya tidak jujur dan ikhlas hingga mencetuskan salah anggap serta kekeliruan dalam masyarakat di negara ini.

Katanya, pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) telah menggunakan isu kerajaan perpaduan bagi melaga-lagakan 'dalaman' (pemimpin) PAS.

"PAS ketika mencadangkan perkara ini (idea Kerajaan Perpaduan) kita (PAS) nampak jujur dan ikhlas.

"Sekiranya Umno jujur dan ikhlas dia (pemimpin Umno) tidak gunakan isu ini (Kerajaan Perpaduan) untuk melagakan 'dalaman' PAS.

"Apa yang ternyata idea yang dikemukakan oleh Presiden PAS itu kita (PAS) nampak Umno tidak jujur dan ikhlas," ujarnya

Katanya PAS masih meletakkan asas Islam 'Memimpin Perubahan' jika gagasan Kerajaan Perpaduan menjadi kenyataan.

"Saya kira idea ke arah untuk menyatukan umat Islam dalam negara kita ini sentiasa kita gagas bukan hari ini sahaja tetapi sampai bila-bila pun untuk menyatukan semua masyarakat mengikut acuan yang kita perjuangkan (Islam) itu," tegasnya.

Tiada ulasan: