Ahad, 28 Jun 2009

Zahar serba salah terima jawatan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Bekas Ketua UMNO Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim berasa serba salah untuk menerima sebarang jawatan dalam Pas Selangor jika berlaku perubahan jawatankuasa.

Menurutnya, beliau sendiri mengakui masih belum menerima sebarang surat tetapi mengakui ada menerima panggilan telefon untuk dicalonkan memegang jawatan dalam jawatankuasa perhubungan.

“Jawatan apa saya tidak pasti. Sekarang ini saya rasa serba salah, kalau terima takut nanti ada pertikaian tetapi kalau saya tolak akan mengecilkan hati orang yang mencadangkan nama saya.

“Setakat ini saya masih menimbangkan perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor II, Iskandar Abdul Samad berkata, cadangan pelantikan Zahar sebagai Pengerusi Biro Ekonomi Pas negeri adalah atas dasar potensi dan kepakaran beliau.

Menurut beliau, Pas tidak memandang tempoh keahlian seseorang itu sebaliknya memberi peluang kepada mereka yang mempunyai bakat dan kepakaran untuk menguatkan lagi parti.

“Kalau lihat kepada sejarah Islam, Khalid Al-Walid pada asalnya adalah seorang panglima Quraisy yang memerangi pejuang-pejuang Islam.

“Namun selepas memeluk Islam, beliau dijadikan panglima perang dalam angkatan tentera Islam kerana kehebatannya dalam peperangan,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Pameran Hartanah Bumiputera di pusat beli-belah, Sunway Pyramid, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jawatan yang diberikan kepada Zahar biarpun bekas Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan itu baru menyertai Pas sejak Disember tahun lalu.

Menurut Iskandar yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, ahli-ahli dalam Badan Perhubungan Pas negeri juga telah sebulat suara bersetuju dengan jawatan yang ditawarkan kepada Zahar.

“Bagi saya tiada masalah untuk meletak beliau (Zahar) dalam kalangan ahli-ahli tertinggi Pas negeri. Kami merasakan beliau layak dan boleh menguatkan parti,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang jawatan Pesuruhjaya Pas Selangor yang masih dipegang oleh Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, Iskandar berkata, Hassan dikekalkan kerana pencapaian yang ditunjuk olehnya sama ada untuk kerajaan negeri atau untuk parti.

“Sebagai Exco paling kanan dalam kerajaan negeri dan memegang portfolio Islam, pengekalan beliau untuk jawatan Pesuruhjaya Pas negeri adalah keputusan terbaik,” katanya.

Tiada ulasan: