Sabtu, 27 Jun 2009

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Nizar

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Sultan Perak bertindak betul apabila tidak memperkenankan permintaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Februari lalu kerana DUN itu baru berusia setahun.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Raus Sharif, berkata bagi membubarkan DUN mengikut Perkara 36 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak (UTNP) seperti yang diminta Mohammad Nizar, DUN perlu tamat dalam tempoh lima tahun bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Sehubungan itu, katanya, Mohammad Nizar mengguna pakai peruntukan undang-undang yang salah apabila memohon bagi pembubaran DUN daripada Sultan Perak.

"Perkara 36 UTNP hanya memberi peruntukan am berhubung kuasa Sultan untuk membubarkan DUN selepas tamat tempoh lima tahun, " kata Raus dalam alasan penghakiman setebal 49 halaman yang diedarkan di sini semalam.

Raus berkata, Mohammad Nizar sepatutnya memohon pembubaran itu mengikut Perkara 16 (6) UNTP yang menyatakan jika Menteri Besar kehilangan sokongan majoriti ahli DUN, melainkan atas permintaan Menteri Besar kepada Sultan, membubarkan DUN, beliau perlu meletakkan jawatan dalam Majlis Eksekutif.

Mengenai Perak mempunyai dua Menteri Besar, Raus berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana mengikut Perkara 16 (6) UNTP, apabila Menteri Besar mengetahui beliau kehilangan sokongan majoriti ahli DUN, beliau perlu mengambil langkah hormat dengan meletak jawatan.

Hakim Datuk Zainun Ali yang bersama Raus dan Ahmad membenarkan rayuan Zambry 22 Mei lalu dijangka memberi alasan penghakiman beliau Isnin ini.

Tiada ulasan: