Jimadie Shah Othman
(kemaskini 6.29pm)
Lebih kurang dua bulan menjadi wanita pertama negara, Rosmah Mansor kini menjadi sasaran kempen negatif dengan tuduhan-tuduhan berat dan label liar "perempuan puaka" di internet.
Walaupun bukan kali pertama beliau diburuk-burukkan tetapi kali ini ia disediakan dengan lebih tersusun dalam bentuk siri dokumentari pendek.
Ia diolah dalam bentuk wawancara dengan beberapa individu yang didakwa ahli-ahli keluarga terdekat Rosmah dan kenalan dekatnya di kampungnya Gedong Lalang di Negeri Sembilan.
Adik lelaki Rosmah, ibu saudaranya dan sepupu lelakinya ditemubual di dalam rumah, selain satu babak menunjukkan sebuah rumah buruk yang didakwa kediaman asal ibu bapanya.
Tiga klip video tersebut – yang mendakwa isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah melupakan asal-usulnya – pertama kali diterbitkan 9 Jun lalu dan cepat disebarkan oleh beberapa blog setelah diumumkan di Malaysia Today.
Blog yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamaruddin – penulis yang mengaitkan Rosmah dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan kini menjadi kes mahkamah – mendakwa, video itu dirakam secara eksklusif untuk laman webnya.
Siri kedua dan tiga klip video terbitkan "C4 Production House" selama 10 minit itu dimuatkan di Youtube.com masing-masing pada 11 Jun dan 15 Jun lalu.
Ketiga-tiga siri video tersebut kini ditonton lebih 200,000 kali – 154,890 untuk bahagian pertama, 86,273 bahagian kedua dan 51,299 untuk bahagian ketiga – dan mendapat perhatian besar di internet.
Menurut tinjauan melalui enjin pencari Google, ia dimuatkan kembali ke laman-laman web lain, termasuk di blog Pemuda PAS Wangsa Maju, Angkatan Muda PKR bahagian-bahagian Gelang Patah dan Kota Raja, serta laman web popular Tranungkite.net.
Penyebaran video itu juga mengundang reaksi balas laman web pro-Umno, antaranya Malaysia Instinct yang ingin menyiasat "konspirasi video" tersebut dan Isuhot Dot Com.
Semalam Malaysia Instinct mendakwa ia cuba bersungguh-sungguh menghubungi pihak yang ditemubual dalam video tersebut bagi mengesahkan kebenaran dakwaan itu tetapi gagal.
"Setiap kali kumpulan kami ke lokasi yang dinyatakan dalam video itu, demi mewawancara mereka yang menuduh, kami tidak mendapat sebarang respons positif," laporannya dipetik.
Namun, tambahnya, seorang anak balu wakil rakyat yang ditemubual kini bekerja dengan Jabatan Perdana Menteri dan berharap pegawai wanita boleh mendedahkan "siapa dan apa matlamat penerbitan video berkenaan."
Laman web itu juga mendakwa ia menerima emel yang membongkar latar belakang balu tersebut tetapi ia tidak mendedahkan siapa di belakang "C4 Production House".
Menepis dakwaan dalam video tersebut, Isuhot Dot Com pula berkata, Rosmah tidak pulang ke kampung halamannya kerana tiada lagi saudaranya tinggal di situ.
Ia mempertikaikan dakwaan-dakwaan yang dikatakan "tidak mempunyai bukti" dan "tuduhan yang tidak relevan dengan politik negara".
"Apa relevan dan kena-mengena dakwaan kononnya Datin Seri Rosmah percaya kepada dukun, tahyul dan pawang? Sudahlah tidak boleh membuktikan sama ada melalui rakaman kamera mahupun gambar, malah isu ini langsung tidak membabitkan isu politik," satu artikelnya 'Siapa Puaka Sebenar' dipetik.
"Apakah tujuan tuduhan ini dibuat? Ia hanyalah serangan berbentuk peribadi yang menggambarkan politik orang Melayu sudah berada dalam keadaan nazak.
"Mereka bercakap memperjuangkan agama tetapi mereka tidak pernah takut kepada Allah.
"Sungguh aneh pembuat dokumentari tersebut boleh berpura-pura terkejut dan beberapa kali menyebut nama Allah ketika merakamkan wawancara memburukkan orang," coret Isuhot Dot Com pada 17 Jun lalu.
Rosmah kini menarik perhatian ramai kerana berbeza dengan bekas wanita-wanita pertama negara, beliau sering mendapat liputan media berhubung kerja-kerja sosialnya.
Antaranya, apabila beliau dikunjungi menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew pada 10 Jun yang disifatkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina di negara ini sebagai sesuatu yang "pelik".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan