Jumaat, 26 Jun 2009

PKFZ: Rahman Palil mahu saman Pricewaterhouse

MALAYSIA KINI


ADUN Sementa Datuk Abdul Rahman Palil hari ini berkata beliau akan menyaman firma audit PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd (PWCAS) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berikutan laporan audit mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dikeluarkan bulan lalu.

Katanya, laporan tersebut memberi persepsi negatif masyarakat terhadap beliau selaku Ketua Umno dan Pengerusi BN bahagian Kapar serta bekas anggota exco kerajaan negeri.

Bercakap dalam sidang akhbar di Shah Alam hari ini, beliau berkata, malah penulis-penulis blog melaporkan seolah-olah beliau yang bertanggungjawab dalam isu PKFZ sedangkan itu adalah keputusan muktamad kabinet dan LPK, laporan Bernama.

Laporan audit PWCAS menyatakan Abdul Rahman merupakan ahli lembaga pengarah LPK dari 1997 sehingga 2003 dan dalam satu mesyuarat ahli lembaga pengarah, mengisytiharkan kedudukannya sebagai presiden Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd (KPPLB) dan pemilik asal tapak PKFZ.

Tanah itu telah dijual oleh KPPLB kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd sebelum syarikat berkenaan menjualkannya kepada LPK pada November 2002 untuk dibangunkan PKFZ.

Laporan PWCAS berkata, dalam mesyuarat itu juga Abdul Rahman telah mempersoalkan cadangan untuk mengambil alih tanah itu daripada pembelian terus tapak PKFZ itu.

Laporan PWCAS juga berkata, memandangkan proses pengambilan tanah akan menguntungkan LPK, rasional Abdul Rahman mempersoalkan cadangan itu adalah tidak jelas.

'Saya tidak dipanggil'

Abdul Rahman berkata beliau menafikan ada kepentingan dalam projek PKFZ kerana tanah itu telah dijual kepada Kuala Dimensi sebelum mesyuarat 24 Oktober 2001 dan dia hadir di mesyuarat itu atas kapasiti beliau sebagai ahli lembaga pengarah LPK.

Bahkan soalan mengenai cadangan pembelian tanah itu sama ada menerusi pengambilan tanah atau pembelian terus diutarakan beliau sebelum beliau mengisytiharkan keluar daripada mesyuarat bulanan LPK itu yang turut membincangkan isu PKFZ.

Justeru itu beliau berkata beliau tidak terlibat dalam membuat sebarang keputusan di dalam soal PKFZ dalammesyuarat bulanan itu.

Abdul Rahman berkata: "Saya tak faham kenapa report itu dimasukkan nama saya...tetapi dalam siasatan pihak audit tak panggil saya, LPK tak panggil saya beri penjelasan".

Oleh itu, beliau berkata beliau akan memfailkan saman malu terhadap PWCAS dan LPK dalam masa terdekat.

Abdul Rahman menyatakan beliau juga sedang menimbang tindakan saman ke atas beberapa individu lain yang membuat kenyataan akhbar tanpa usul periksa.

PKFZ yang terletak di tapak seluas 400ha di Pulau Indah berhampiran Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang mencetus kontroversi apabila sesetengah pihak mempersoalkan kos pembangunannya dan pengambilan tanah yang menelan belanja RM4.6 bilion.

Tiada ulasan: