Ahad, 28 Jun 2009

50,000 pelajar baru IPTA disaring

KOSMO !


KUALA LUMPUR - Hampir 50,000 pelajar baru yang mendaftar sebagai penuntut di empat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) semalam diarah menjalani pemeriksaan saringan sebagai langkah pencegahan awal virus selesema babi.

Keempat-empat IPTA itu ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menjalankan saringan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran universiti masing-masing.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat UPM, Abdullah Arshad berkata, kira-kira 4,000 pelajar baru terlibat dalam saringan yang diadakan selama dua hari bermula semalam di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di Serdang.

Menurutnya, semua pelajar baru diarah menjalani saringan tersebut sebelum mendaftar ke kolej kediaman masing-masing.

"Langkah ini diambil bagi menangani penularan wabak tersebut memandangkan surat tawaran telah dikeluarkan kepada semua pelajar baru," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengeluarkan arahan supaya semua IPTA menubuhkan pasukan khas bagi memantau penularan virus selesema babi di semua IPTA.

Tiada ulasan: