Selasa, 30 Jun 2009

H1N1: 3 kes tempatan, jumlah 158

MALAYSIA KINI


Jangkitan selesema A (H1N1) meningkat 14 kes lagi hari ini, menjadikan semua 158 kes terkumpul di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican.

Daripada kes terbaru itu, 11 kes import manakala tiga kes jangkitan tempatan.

Beliau juga berkata pesakit yang masih dirawat di hospital pada masa ini berjumlah 47 orang dan kesemua mereka menunjukkan respons yang baik kepada rawatan tanpa sebarang komplikasi, lapor Bernama.

Seramai 111 kes telah sembuh selepas rawatan dan dibenarkan
keluar dari hospital, dan setakat ini tiada sebarang kematian dilaporkan, kata Dr Ismail lagi.

Dua buah sekolah lagi ditutup sejak semalam kerana terdapat jangkitan tempatan, iaitu Sekolah Tinggi Chung Hwa, Seremban dan
Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur.

Sekolah-sekolah itu akan ditutup sehingga Jumaat ini bagi mengawal penularan penyakit itu di sekolah tersebut.

"Semua ibu bapa kepada pelajar-pelajar tersebut diminta untuk terus
memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat awam dalam masa kuarantin, dan kita harap mereka yang datang dari negara-negara terjejas mengamalkan kuarantin sendiri di rumah atau tempat kediaman masing-masing dan mengamalkan 10 langkah bijak dalam masa kuarantin seperti yang dipromosikan kementerian," Dr Ismail dilaporkan berkata.

Seramai 713 orang menjalani kuarantin di rumah, termasuk empat kontak mempunyai simptom.

Dr Mohd Ismail juga berkata kementerian mewujudkan sebuah laman web khas mengenai selesema A (H1N1) yang boleh diakses di alamat http://h1n1.moh.gov.my mulai esok.

Selain itu, dua talian baru dibuka 03-88 83 44 14 dan 03-88 83 44 15 sebagai tambahan kepada talian sedia ada iaitu 03-8881 0200 dan 03-8881 0300 untuk kemudahan orang ramai.

Tiada ulasan: