Selasa, 30 Jun 2009

Parlimen akan bincang usul isu Influenza A (H1N1)

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Isu wabak Influenza A (H1N1) akan dibincangkan di Dewan Rakyat pada persidangan sebelah petang hari ini apabila usul mengenainya diluluskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar Amin berkata usul itu memenuhi tiga kriteria utama iaitu merupakan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

"Oleh itu saya membenarkan usul ini dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 3(b), yang perbahasannya bermula pukul 4.30 petang dan akan ditangguhkan pada 5.30 petang.

"Perbahasan akan dibenarkan selama 30 minit seorang dan kerajaan akan menjawab selama 30 minit," katanya.

Usul mengenai Influenza A(H1N1) yang juga dikenali sebagai selesema babi dikemukakan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang antara lain mencadangkan supaya tahap keberkesanan usaha pemeriksaan semua di pintu masuk negara diteliti bagi memastikan ia benar-benar dapat menyekat penularan kes itu di dalam negara.

Sehingga semalam, 20 lagi kes baru dilaporkan di dalam negara dengan empat daripadanya merupakan penularan tempatan, menjadikan jumlah kes kini mencecah 144.

Tiada ulasan: